Bentley telah mendedahkan rim gentian karbon 22-inci, yang didakwa sebagai rim gentian karbon yang terbesar di dunia buat masa sekarang. Rim berkenaan dihasilkan khas untuk SUV mewah mereka iaitu Bentley Bentayga, dan ia sudah boleh mula ditempah pada penghujung tahun ini, namun harganya masih belum diumumkan.

Rim ini dibangunkan oleh Bucci Composite, dan ia menampilkan pengurangan berat sebanyak 6 kg untuk setiap roda berbanding rim aluminium dengan saiz sama. Bentley juga mendakwa bahawa rim ini merupakan rim gentian karbon pertama di dunia yang melepasi semua ujian standard TÜV (Technischer Überwachungsverei – Technical Inspection Association).

Antara ujian standard TÜV yang perlu dilepasi oleh rim berkenaan termasuk ujian tekanan biaxial, ujian impak radial dan lateral untuk simulasi lubang jalan dan batu bulat, ujian tekanan angin tayar melebihi had dan juga ujian tork berlebihan.

Kegusaran tipikal sebuah rim gentian karbon yang lazimnya akan berkecai ketika menerima impak yang kuat tidak akan menjadi isu pada rim gentian karbon Bentley ini kerana menurut jenama mewah dari Britain berkenaan, rim ini telah terbukti “sangat selamat” dalam ujian impak TÜV tersebut.

Menurut Bentley lagi, rim aluminium biasanya akan retak atau pecah yang boleh menyebabkan tayar pecah jika terkena impak, berbeza dengan rim gentian karbon yang membolehkan tayar berkenaan kempis secara perlahan-perlahan dalam situasi yang sama.

Ia adalah disebabkan oleh struktur tenunan serat pada rim gentian karbon berkenaan, dan secara tidak langsung boleh mengelakkan kemalangan kerana pemandu masih boleh mengawal kereta berkenaan dan berhenti di tempat yang selamat, dakwa Bentley lagi.

Bukan hanya lebih selamat, rim gentian karbon ini juga mampu memberikan pengendalian yang lebih baik kepada kereta kerana ia lebih ringan, malah turut membuatkan kereta lebih stabil dan memberikan platform stereng yang lebih konsisten dakwa Bentley lagi, dan memberi contoh rim forged aluminium boleh hilang sudut camber sehingga 1 darjah kerana lenturan logam pada rim berkenaan.

Dengan lenturan yang kurang membolehkan tayar lebih stabil dengan permukaan sentuhan pada permukaan jalan yang lebih konsisten, sekaligus memberikan cengkaman jalan yang lebih baik. Ujian akhir untuk pembangunan rim gentian karbon berkenaan telah dibuat di litar The Green Hell, Nurburgring Nordschleife di Jerman.

Inovasi paling penting dalam proses pembuatan rim gentian karbon Bentayga ini adalah pengunaan konsep yang sudah dipatenkan dan juga aplikasi high-pressure resin transfer moulding (RTM). Proses berkenaan melibatkan kain gentian karbon tersebut dipotong mengikut bentuk yang dimahukan, selepas segmen tenunan ditimbunkan, dipanaskan dan kemudian diletak ke acuan bagi menjadikan bentuk tiga-dimensi.

Ia kemudiannya disusun ke dalam acuan lebih besar, dan selepas itu disuntik dengan resin serta bahan pengeras. kemudian ia dikeluarkan dari acuan dan disejukkan pada suhu tertentu, dan selepas itu permukaannya dimesin sehingga mencapai kemasan akhir yang dimahukan sebelum digilap dan menjadi rim yang lengkap.

Selain dari rim, Bentayga turut telah ditawarkan dengan pelbagai komponen gentian karbon termasuk komponen-komponen dalam Styling Specification, yang terdiri dari splitter hadapan, kemasan tambahan pada bendul sisi, diffuser belakang, dan juga komponen-komponen venir untuk bahagian dalaman dengan kemasan gentian karbon berkilat.