Mercedes-Benz E-Class facelift 2021 dilancar untuk Malaysia – varian E 200 dan E 300, harga dari RM327k

Mercedes-Benz E-Class facelift 2021 dilancar untuk Malaysia – varian E 200 dan E 300, harga dari RM327k

Mercedes-Benz E-Class facelift W213 yang diperkenalkan kepada dunia pertama kali Mac lalu kini sudah tiba di Malaysia. Ia ditawarkan dalam dua varian iaitu E 200 Avantgarde dan E 300 AMG Line, dan kedua-keduanya dipasang dalam negara (CKD) di Pekan, Pahang.

Harga bagi sedan eksekutif ini bermula dari RM326,943, iaitu untuk E 200, sementara E 300 pula dijual pada harga RM375,432. Harga ini dikira sekali dengan pengecualian cukai jualan (100% kerana ini adalah model CKD) yang diberi sehingga 31 Disember 2021, dan datang bersama jaminan tanpa had batuan selama empat tahun.

Model facelift ini membawa beberapa perubahan yang boleh dilihat terus, termasuk gril hadapan lebih nipis dan datang dalam bentuk berbeza mengikut pakej kemasan yang dipilih. Pada varian Avantgarde, gril ini mempunyai bentuk heksagon, dua jalur krom melintang serta kemasan dalam jalur menegak warna hitam.

Mercedes-Benz E-Class facelift 2021 dilancar untuk Malaysia – varian E 200 dan E 300, harga dari RM327k

Varian AMG Line pula menggunakan gril berbentuk trapezoid yang cuma mempunyai satu jalur krom melintang di tengah, bersama kemasan bintik warna krom. Ia juga mempunyai bampar yang lebih agresif, dengan bukaan udara hiasan yang lebih besar di bahagian bucu.

Antara dua varian ini masih terdapat persamaan, seperti bonjolan atas bonet serta dua muncung ekzos di belakang, tetapi dengan kemasan krom yang berbeza. Satu lagi perubahan luaran pada model facelift ini adalah lampu belakangnya, yang kini lebih lebar dan bersambung sehingga ke but. MBM turut menyatakan ada dua warna baru untuk model facelift ini, iaitu Grey Metallic dan High-Tech Silver.

Kedua-dua varian digerakkan oleh enjin empat silinder 2.0 liter turbo, dengan unit pada E 200 mampu menghasilkan 197 PS (194 hp) dari 5,500 hingga 6,100 rpm dan 320 Nm dari 1,650 hingga 4,000 rpm. Pada E 300 pula, enjin ini mampu menjana 258 PS (255 hp) dari 5,800 hingga 6,100 rpm dan 370 Nm dari 1,800 hingga 4,000 rpm. Jumlah ini masih lagi sama seperti E 200 dan E 300 sebelum ini.

Bagi kedua-dua varian juga, enjin ini dipadankan bersama transmisi automatik sembilan kelajuan 9G-Tronic, yang menghantar kuasa kepada roda belakang, dengan E 300 mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.2 saat dan laju maksimum 250 km/j sementara E 200 pula mencatat 7.4 saat dan 240 km/j. Turut diberi adalah pemilih mod pemanduan Dynamic Select dan suspensi Agility Control.

Untuk kelengkapan bahagian luar, E 200 datang secara standard dengan lampu utama LED High Performance (dengan Adaptive Highbeam Assist Plus), rim 18 inci lima cabang serta pakej Avantgarde. Varian E 300 AMG Line pula mendapat lampu utama Multibeam LED (dengan Adaptive Highbeam Assist Plus) serta rim AMG 19 inci.

Papan pemuka di bahagian dalam masih lagi sama seperti sebelum ini, tetapi perubahan utama yang diberi adalah pada sistem infotainmen, yang kini menggunakan Mercedes-Benz User Experience (MBUX) secara standard bagi kedua-dua varian, dan datang sekali dengan Widescreen Cockpit yang terdiri daripada skrin 12.3 inci – panel instrumen digital dan skrin sesentuh.

Sistem MBUX ini mempunyai pelbagai servis sambungan Mercedes Me kerana di dalamnya terdapat modul komunikasi LTE. Ia boleh dikawal menggunakan pad sesentuh pada konsol tengah dan mempunyai sambungan Android Auto serta Apple CarPlay. Turut disertakan adalah pengecas tanpa wayar, tetapi untuk E 300 sahaja.

Pada bahagian lain, E 200 mendapat roda stereng kulit Nappa, yang menampilkan butang kapasitif Touch Control, gabungan kemasan kayu dan aluminium, pengawal pendingin hawa dua zon Thermatic, lampu suasana, tempat duduk larasan kuasa dengan fungsi memori, penghadang cahaya kawalan kuasa di cermin belakang serta tempat duduk yang dibalut kulit buatan Artico.

E 300 pula mendapat rekaan stereng lebih sporty, yang termasuk dalam pakej AMG Line, sementara senarai kelengkapannya pula ditambah dengan bumbung panoramik, kawalan pendingin hawa tiga zon, alas kaki AMG serta sistem bunyi Burmester.

Pergi kepada sistem bantuan dan keselamatan, E 200 dilengkapi dengan kamera undur, Active Parking Assist dengan Parktronic, Blind Spot Assist, Keyless-Go, Pre-Safe dan Active Brake Assist (brek kecemasan autonomous).

E 300 yang lebih mahal pula ditambah dengan kamera 360 darjah, dan Driving Assistance Package yang termasuk Active Distance Assist Distronic (Adaptive Cruise Control), Active Steering Assist, Active Brake Assist, Active Lane Keeping Assist, Active Blind Spot Assist dan Pre-Safe Plus.

Satu lagi tambahan baru untuk E-Class facelift ini adalah Urban Guard, iaitu sistem yang bekerjasama dengan Mercedes me untuk memerhati kenderaan secara menyeluruh. Ia termasuk dengan sistem penggera anti kecurian, perlindungan daripada ditunda (mengeluarkan amaran bunyi dan visual sekiranya kedudukan berubah), siren penggera, pemerhati bahagian dalam serta pengesan kecurian dan perlanggaran waktu kereta tidak bergerak.

GALERI: Mercedes-Benz E 200 Avantgarde W213 2021

GALERI: Mercedes-Benz E 300 AMG Line W213 2021

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required