Mercedes-Benz E-Class W213 facelift diperkenal – rupa lebih segar, sistem hibrid ringkas 48V serta MBUX

Mercedes-Benz E-Class W213 facelift diperkenal – rupa lebih segar, sistem hibrid ringkas 48V serta MBUX

Diperkenalkan buat pertama kali pada 2016, kini Mercedes-Benz E-Class W213 sudahpun masuk ke fasa facelift. Model kemaskini tersebut bukan sahaja menerima rupa lebih segar dengan perubahan yang signifikan, ia juga diberikan perubahan dari segi teknologi dan kelengkapan.

Model ini akan mula dijual di pasaran Eropah pada musim panas tahun ini, dan ia akan tampil dengan bentuk badan sedan dan wagon (model Estate dan All-Terrain). Versi dua pintu coupe dan cabriolet akan menyusul kemudian, bersama model jarak roda lebih panjang khas untuk pasaran China.

Tidak sukar untuk kita membezakan versi baharu ini dengan model sebelumnya kerana ia tampil dengan perubahan bahagian luaran yang agak banyak. Muka sedan ini diubah dengan gril utama yang lebih nipis, diapit dengan lampu hadapan LED penuh (standard untuk semua, opsyen Multibeam dengan lampu tinggi Ultra Range ditawarkan) lebih bersegi dan kelihatan lebih kecil.

Mercedes-Benz E-Class W213 facelift diperkenal – rupa lebih segar, sistem hibrid ringkas 48V serta MBUX

Jalur lampu nyalaan siang LED berbentuk-L yang kelihatan seperti kening juga dibina bersepadu di dalam lampu utama, seakan model-model baharu Mercedes-Benz yang lain seperti CLA C118 dan CLS C257. Bahagian belakang turut menerima perubahan cukup besar dimana lampu bentangan menegak pada model asal telah digantikan dengan lampu melintang ‘two-piece’ seakan lampu pada A-Class V177.

Mercedes-Benz menawarkan pelbagai pakej pengayaan untuk W213 facelift ini termasuk Avantgarde Line, Exclusive Line dan AMG Line. Seperti sebelum ini, Avantgarde merupakan varian paling asas dan ia menampilkan gril dengan dua louvre krom. Versi pertengahan Exclusive pula diberikan gril tiga louvre, elemen krom lebih besar dan juga logo tradisional Merecedes-Benz yang berdiri pada hujung muncung bonet.

Seperti biasa, AMG-Line merupakan versi paling sporty pada model-model biasa, diberikan gril dengan elemen batu permata dan louvre tunggal paling agresif serta liang udara A-wing pada bampar hadapan.

Mercedes-Benz E-Class W213 facelift diperkenal – rupa lebih segar, sistem hibrid ringkas 48V serta MBUX

Selain dari tiga versi ini, E-Class X213 All-Terrain facelift turut diperkenalkan, iaitu versi dengan penggayaan seperti crossover yang menampilkan suspensi lebih tinggi dan juga kemasan-kemasan pelindung di bahagian bawah badan yang berwarna hitam.

Tiga warna baharu diperkenalkan pada model kemaskini ini iaitu High-tech Silver, Graphite Grey Metallic dan Mojave Silver, serta pelbagai pilihan set rim rekaan baharu.

Walau bagaimanapun, kabin W213 facelift ini tidak menerima perubahan besar seperti pada bahagian luarannya. Papan pemuka masih dibintangi oleh paparan instrumen digital Widescreen Cockpit dengan dua skrin bersaiz 10.25-inci, bersama empat tetapan penggayaan iaitu Modern Classic, Sport, Progressive dan Discreet. Apa yang baharu adalah pada sistem infotaimen kerana ia kini sudahpun menerima sistem berasaskan teknologi A.I Mercedes-Benz User Experience (MBUX).

Selain itu, ciri baharu lain yang turut diberikan pada model ini adalah termasuk roda stereng rekaan baharu (bergantung pada pakej penggayaan) dengan butang kapasitif Touch Control, opsyen upholsteri baharu, tempat duduk kinetic Energizing dan kawalan keselesaan (dengan koc Energizing dan PowerNap) serta sistem pelindungan kenderaan Urban Guard.

Sistem-sistem bantuan pemanduan sedia ada terus dibekalkan pada E-Class baharu ini. Sistem Active Brake Assist kini diberikan secara standard, manakala pakej Driving Assistance ditawarkan sebagai pilihan, terdiri dari sistem Active Stop-and-Go Assist, Active Steering Assist (dengan fungsi koridor kecemasan), Active Blind Spot Assist dan Active Parking Assist bersama Parktronic.

Roda stereng baharu pada E-Class ini turut hadir dengan pengenal hand-off – ini membolehkan pemandu tidak perlu lagi memberikan sedikit input ketika dalam mod separa-autonomous bagi memberitahu sistem bahawa anda masih menumpukan perhatian pada pemanduan, dan hanya perlu memegang roda stereng tersebut.

Mercedes-Benz E-Class W213 facelift diperkenal – rupa lebih segar, sistem hibrid ringkas 48V serta MBUX

E-Class W213 ini masih dijana pilihan enjin petrol, diesel dan juga yang diberikan teknologi elektrifikasi. Untuk versi petrol, ia dijana oleh enjin baharu M254 2.0 liter empat-silinder turbo berkuasa 156 PS, dibantu oleh sistem hibrid ringkas 48-volt dengan motor ISG yang membekalkan kuasa tambahan 20 PS/180 Nm apabila diperlukan. Enjin ini menggantikan unit M274 sebelum ini.

Untuk enjin M256 3.0 liter turbo enam-silinder sebaris pula, ia menjana sejumlah 367 PS, dan kedua-dua pilihan enjin petrol ini digandingkan dengan kotak gear automatik sembilan-kelajuan 9G-Tronic. Manakala untuk versi diesel, ia ditawarkan dengan enjin OM654 2.0 liter empat silinder berkuasa 160 PS dan juga enjin OM656 3.0 liter enam-silinder berkuasa 330 PS.

Untuk versi awalan juga, W213 facelift turut hadir dalam versi prestasi Mercedes-AMG E 53 4Matic, juga ditawarkan dalam bentuk badan sedan dan Estate. Ia dijana oleh enjin 3.0 liter enam-silinder berkuasa 435 PS dan tork maksima 520 Nm, bersama unit starter-alternator EQ Boost yang membekalkan kuasa tambahan 22 PS/250 Nm pada masa-masa tertentu.

Kuasa tersebut dialirkan ke kesemua roda menerusi kotak gear automatik sembilan-kelajuan AMG Speedshift TCT 9G dan sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic+. Gandingan berkenaan membolehkan E 53 ini memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa 4.5 saat (sedan) dan 4.6 saat (Estate), dan mencapai kelajuan maksima 250 km/j. Jika anda memilih pakej opsyenal AMG Driver, kelajuan maksima model ini meningkat kepada 270 km/j dan akan disertakan dengan suspensi udara AMG Ride Control+.

Dengan kuasa yang lebih besar, versi AMG sebenar ini turut menampilkan rupa lebih garang dengan diberikan gril hadapan Panamericana dan diffuser belakang lebih agresif yang menempatkan empat tip ekzos. Dalam kabin, E 53 AMG menerima roda stereng AMG Performance, instrumen paparan AMG, sistem mod pemanduan AMG Dynamic Select dan juga pakej opsyen AMG Dynamic Plus.

Mercedes-Benz E-Class facelift W213 AMG Line

Mercedes-Benz E-Class facelift W213 Exclusive Line

Mercedes-Benz E 53 4Matic+ W213 Sedan facelift

Mercedes-Benz E 53 4Matic+ W213 Estate facelift

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required