Mercedes-Benz CLA C118 – generasi kedua diperkenal

Mercedes-Benz CLA C118 – generasi kedua diperkenal

Waktu pameran CES 2019 di Las Vegas, Mercedes-Benz telah memperkenalkan model baru CLA C118, yang merupakan model generasi kedua serba baru bagi coupe empat pintu tersebut. Saiznya lebih besar daripada model sebelum ini, dengan ukuran 4,688 mm panjang, 1,830 mm lebar dan 1,439 mm tinggi, bersamaan 48 mm lebih panjang, 53 mm lebih lebar dan dua mm lebih pendek berbanding C117. Jarak roda juga bertambah 30 mm menjadi 2,729 mm.

Selain daripada itu, CLA baru ini juga mempunyai jarak antara roda kiri dan kanan yang lebih lebar berbanding model generasi pertama, iaitu meningkat sebanyak 63 mm bagi tayar hadapan dan 55 mm bagi tayar belakang. Pada aspek penggayaan, model baru ini kurang radikal dan garis badannya seakan memberi gambaran ia seperti CLS yang lebih kecil. Bentuk baru ini juga mampu memberikan aerodinamik lebih baik.

Dalam keadaan standard, CLA baru dilengkapi dengan lampu utama halogen dengan lampu siang LED bersepadu, tetapi pelanggan masih mempunyai pilihan tambahan lampu LED High Performance dan Multibeam LED. Lampu belakang juga boleh didapati dengan teknologi LED penuh. Untuk rim pula, unit yang ditawarkan bermula dari saiz 16 inci standard sehinggalah 19 inci.

Mercedes-Benz CLA C118 – generasi kedua diperkenal

Bahagian dalam pula menampilkan papan pemuka yang seperti diambil terus daripada A-Class, lengkap dengan panel skrin ‘terapung’ yang lebar serta corong pendingin hawa rekaan seperti turbin. Model CLA sebelum ini diketahui mempunyai ruang yang sempit, dan Mercedes-Benz cuba untuk mengatasinya.

Melihat kepada catatan nombor, ruang kepala hadapan kini sudah meningkat 17 mm, belakang meningkat tiga mm, manakala ruang siku juga ditambah lagi, masing-masing 35 mm di hadapan dan 44 mm di belakang. Turut dipertingkat adalah ruang bahu, tetapi ruang kaki masih lagi sama seperti sebelum ini.

Selain daripada skrin tadi, ciri lain yang diberi adalah termasuk sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) versi terbaru, yang lengkap dengan fungsi sama seperti GLE baru termasuk Interior Assist yang boleh dikawal menggunakan pergerakan. Sistem ini boleh mengenal pasti arahan pergerakan daripada pemandu dan penumpang hadapan, dan boleh digunakan sama ada waktu siang ataupun gelap.

Mercedes-Benz CLA C118 – generasi kedua diperkenal

Contoh kepada fungsi pintar sistem ini adalah seperti membuka atau menutup lampu membaca dengan hanya menghalakan tangan ke arah cermin pandang belakang atau menyalakan lampu kecil apabila pemandu menjangkau ke arah tempat duduk penumpang hadapan yang kosong. Sama seperti A-Class, CLA ini turut mempunyai fungsi kawalan suara ‘Hey Mercedes’, kawalan keselesaan Energising dengan fungsi Energising Coach.

Bagi sistem bantuan memandu pula, model baru ini dilengkapi dengan fungsi yang diambil daripada S-Class, dengan Active Brake Assist dan Active Lane Keeping Assist diberikan secara standard. Fungsi lain yang boleh didapati adalah termasuk Active Distance Assist Distronic, Active Emergency Stop Assist dan Active Lane Change Assist.

Kereta yang dipamerkan di CES ini adalah varian CLA 250, dilengkapi dengan enjin petrol empat silinder turbo 2.0 liter M260 berkuasa 224 hp pada 5,500 rpm dan 350 Nm tork antara 1,800 hingga 4,000 rpm. Beberapa enjin lain akan ditawarkan untuk CLA baru ini apabila ia dilancarkan pada bulan Mei nanti, dan ini termasuk unit petrol 1.33 liter M282 dan diesel 1.5 liter seperti A-Class. Versi AMG yang lebih berkuasa juga pastinya akan menemui pasaran seperti CLA 35 dan CLA 45 yang ditawarkan dengan sama ada dengan enjin 387 hp ataupun yang lebih tinggi, 421 hp.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required