Mercedes-Benz akhirnya telah menunjukkan secara rasmi model A-Class Sedan V177 standard, tiga bulan selepas mereka menunjukkan model Z177 jarak roda panjang. Seperti yang dijangka, ia kelihatan sama seperti hatchback W177 tapi dengan bahagian but yang berasingan untuk pasaran yang lebih gemarkan sedan seperti Malaysia dan Amerika Syarikat.

Seperti yang sudah pun diberitahu minggu lepas, sedan ini memegang rekod sebagai kenderaan produksi dengan rintangan angin paling rendah iaitu 0.22 Cd dan ini adalah sama dengan model CLA. Ini adalah disebabkan bahagian hadapannya juga lebih kecil daripada CLA – 2.19 meter. Sebagai perbandingan, model hatchback mempunyai kadar rintangan angin 0.25 Cd.

Antara perkara yang membantu pengurangan rintangan angin ini adalah keliling lampu yang ditutup rapi, bahagian bawah kenderaan yang hampir rata sepenuhnya, pilihan gril yang mempunyai sistem pengatup, serta spoiler depan dan belakang yang dapat menolak angin di sekitar tayar. Roda dan tayar itu sendiri juga dibangunkan dengan memberi penekanan kepada aerodinamik.

Daripada aspek rekaan, sedan ini mengekalkan bentuk hadapan sama seperti model hatchback, dengan menampilkan lampu hadapan tirus (dengan pilihan unit LED Multibeam) dan gril bentuk trapezoid bersama logo yang besar. Turut dikekalkan adalah garis badan yang jelas, serta lengkungan di pintu yang nampak lebih elok berbanding model LWB.

Bahagian belakang adalah sama seperti A-Class L Sedan, dengan lampu yang terpisah dua bahagian. Bentuknya yang besar menjadikan kereta ini nampak lebar tapi sebenarnya bahagian belakangnya masih agak pendek. Seperti biasa, terdapat banyak saiz rim yang ditawarkan, dari 16 hinggalah 19 inci dan turut termasuk dalam senarai adalah model Edition 1.

Pada bahagian dalam, bahagian kabin juga kelihatan sama seperti model hatchback. Ini bermakna, papan pemukanya yang berbentuk seperti sayap masih didominasi oleh panel paparan besar yang seperti terapung di tengah dan corong pendingin hawa berbentuk turbin. Terdapat juga sistem lampu suasana 64 warna dengan 10 tema pada kenderaan ini.

Panel paparan instrumen dan infotainmen yang bersambung pada kenderaan ini boleh didapati sama ada dalam saiz tujuh atau 10.25 inci, dan unit yang lebih besar boleh dikawal secara sentuhan dan menggunakan sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) dengan fungsi seperti augmented reality untuk paparan navigasi dan sistem kawalan suara.

Sistem ini juga menggunakan artificial intelligence dan ia boleh belajar apa yang anda gemari dari masa ke semasa. Fungsi lain yang pertama kali digunakan pada MBUX ini adalah navigasi yang menggunakan komunikasi infrastruktur kenderaan-ke-kenderaan dan kenderaan-ke-infrastruktur, informasi harga minyak dan tempat letak kereta, serta fungsi mengesan kenderaan sekiranya kenderaan yang diletak telah dilanggar atau ditarik.

A-Class Sedan mempunyai ukuran 4,549 mm panjang, 1,796 mm lebar dan tinggi 1,446 mm. Ini menjadikan ia 130 mm lebih panjang dan enam mm lebih tinggi berbanding model hatchback, tapi masih mempunyai jarak roda sama iaitu 2,729 mm. Mercedes mendakwa model ini mempunyai ruang kepala bahagian belakang yang terbaik dalam kelasnya, manakala bahagian but pula mempunyai kapasiti 420 liter – 50 liter lebih berbanding model hatchback.

Semasa pelancaran, hanya model enjin petrol A 200 dan diesel A 180 d yang ditawarkan. Model petrol tersebut adalah unit empat silinder turbo 1.33 liter M282 yang dibangunkan bersama Renault dan mampu menghasilkan 163 hp dan 250 Nm tork. Model diesel pula menggunakan unit 1.5 liter turbo OM608 keluaran Mercedes sendiri yang mampu menghasilkan 116 hp dan 260 Nm tork. Kedua-dua enjin ini dipadankan bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan buatan Getrag.

Dalam keadaan standard, kedua-dua varian juga datang dengan suspensi torsion beam di belakang, tetapi model yang menggunakan enjin lebih berkuasa serta pacuan semua roda 4Matic yang bakal tiba nanti akan mendapat gandar four-link. Di depan, semuanya menggunakan tetapan MacPherson.

Untuk aspek keselamatan, A-Class Sedan datang secara standard dengan Active Brake Assist (brek kecemasan autonomous) dan Active Lane Keeping Assist, dan boleh dipilih dengan sistem adaptive cruise control Distronic, Active Emergency Stop Assist dan Active Lane Change Assist. Turut disediakan adalah pilihan sistem Pre-Safe dan Pre-Safe Rear yang boleh mengurangkan kesan perlanggaran.