Mercedes-Benz E 300 Exclusive Line W213 telah pun dilancarkan di Malaysia pada Mac lalu, bersama dengan varian E 200 SportStyle Avantgarde dan juga E 350 AMG Line. Kini, kami sajikan pula galeri penuh untuk varian E-Class ini.

E 300 yang mengambil alih varian E 250 Exclusive Line sebelum ini, ditawarkan pada harga RM379,888 atas jalan tanpa insurans. Ia turut menampilkan enjin M264 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder petrol dengan hamburan kuasa 254 hp (258 PS) pada 5,800 rpm dan 370 Nm dari 1,800-4,000 rpm.

Ia dipadankan dengan transmisi automatik 9G-Tronic sembilan-kelajuan, dan E 300 pula mampu mencapai pecutan dari sifar ke 100 km/j dalam 6.2 saat sebelum mencecah kelajuan maksimum 250 km/j. Lain-lain aspek pemanduan yang ditampilkan termasuklah suspensi Agility Control dan Dynamic Select yang membolehkan pemandu melaras karakteristik stereng dan penjana kuasa dengan mod pemanduan yang dipilih.

Seperti nama yang diberi, E 300 dilengkapi dengan pakej penggayaan luaran Exclusive, termasuk roda aloi 10-jejari 19-inci, lampu utama Multibeam LED dengan Adaptive Highbeam Assist Plus, tailgate kuasa dan juga bumbung matahari panoramik.

Di dalamnya, ditampilkan upholstery kulit Nappa dengan lining kulit Artico, kemasan kayuan coklat berkilat dan kelabu coklat berkilat untuk konsol tengah, sistem kawalan suhu Thermatic, tempat duduk hadapan kuasa, Widescreen Cockpit (dua paparan 12.3-inci), pencahayaan ambien, roda stereng sport pelbagai fungsi dengan balutan kulit Nappa dan pengecas tanpa wayar.

Lain-lain ciri termasuk sistem infotainmen COMAND Online dengan kawalan pad sesentuh dan sistem bunyi Burmester, kamera 360-darjah, Lane Tracking Package, Keyless-Go Akses Bebas Tangan, Bantuan Titik Buta, Bantuan Brek Aktif dan Bantuan Parkir Aktif.