Mercedes-Benz E 200 W213 SportStyle Avantgarde

Setelah berada hampir tiga tahun dalam pasaran tempatan, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) melancarkan barisan model yang dipertingkatkan untuk E-Class W213 hari ini. Tiga varian ditawarkan iaitu E 200 SportStyle Avantgarde, E 300 Exclusive Line dan E 350 AMG Line – kesemuanya menerima enjin baharu M264 2.0 liter empat silinder turbo.

Kita tumpukan dahulu untuk dua varian di bawah iaitu E 200 dan E 300, manakala E 350 boleh anda baca DI SINI. E 200 akan dijual pada harga RM329,888, manakala E 300 yang menggantikan model E 250 Exclusive Line sebelum ini dijual pada harga RM379,888.

Seperti biasa, walaupun dijana enjin yang sama, setiap varian menerima talaan kuasa berbeza. Untuk varian paling rendah E 200, enjin berkenaan menghasilkan kuasa 197 hp dan tork maksima 320 hp berbanding 181 hp/300 Nm sebelumnya. Ini membolehkan model tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat.

Mercedes-Benz E 200 W213 SportStyle Avantgarde

Untuk model E 300 pula, enjin M264 ini menjana 258 hp (245 hp sebelumnya) dan tork maksima 370 Nm. Untuk itu, model tersebut dapat memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa 6.2 saat. Kedua-dua versi ini juga menerima kotak gear sembilan-kelajuan automatik 9G-Tronic secara standard.

Bagi suspensi, E 200 dan E 300 dilengkapi dengan sistem Agility Control. Sistem Dynamic Select turut tidak ketinggalan, bagi melaras talaan suspensi, stereng dan janakuasa bergantung pada mod pemanduan yang dipilih.

Selain itu, Kedua-dua varian ini turut hadir dengan kelengkapan berbeza. E 200 menerima pakej Avantgarde, dengan bahagian luaran dilengkapkan dengan pakej Sportstyle terdiri dari berberapa ciri-ciri unik seperti lencana pada fender hadapan, kemasan krom pada bawah louvre bampar hadapan dan juga kemasan hitam berkilat pada bampar belakang.

Bahagian luaran model ini juga diberikan ciri standard lain seperti rim aloi lima-jejari 18-inci, lampu hadapan LED High Performance dengan Bantuan Lampu Tinggi Adaptif serta kamera undur. Dalam kabin, E 200 menerima kemasan Avantgarde yang terdiri dari upholsteri kulit Artico, kemasan aluminium dengan elemen karbon ringan serta kemasan kayu ash hitam pada konsol tengah.

W213 Mercedes-Benz W213 E 300 Exclusive

Ia juga dibekalkan dengan sistem penghawa dingin Thermatic, tempat duduk hadapan larasan berkuasa dengan sokongan lumbar empat-hala, sistem lampu suasana, sistem infotaimen Audio 20 dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, sistem widescreen cockpit dengan dua skrin 12.3-inci, roda stereng balutan kulit Nappa pelbagai fungsi dan juga pengecas gajet tanpa wayar.

Untuk ciri keselamatan, E 200 menerima sistem bantuan pemanduan termasuk Bantuan Titik Buta, Bantuan Brek Aktif dan juga Bantuan Parkir Aktif.

Bagi model E 300 pula, ia disertakan pakej Exclusive dengan rim aloi 10-jejari 19-inci, lampu hadapan Multibeam LED bersama Adaptive Highbeam Assist Plus, upholsteri kulit Nappa bersama kulit Artico, kemasan kayu perang berkilat, dan juga kemasan perang ash berkilat pada konsol tengah.

Versi pertengahan ini juga dilengkapkan dengan bumbung panaromik, penutup but berkuasa, kamera 360-darjah, pakej Lane Tracking, Keyless-Go, Hands Free Access, sistem infotaimen COMAND Online dengan kawalan pad sesentuh serta sistem bunyi Burmester.