Selain dua varian lebih rendah E-Class W213 2019 yang dilancarkan pada pasaran tempatan hari ini, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) turut memperkenalkan varian lebih berkuasa dengan sistem hibrid ringkas di bawah teknologi EQ Boost iaitu E 350 AMG Line.

Enjin M264 empat silinder pada model ini diberikan pengecas turbo twin-scroll menggantikan enjin M274 sebelum ini. Sistem hibrid plug-in pada E 350 e sebelum ini juga digantikan dengan sistem hibrid 48-volt dan juga unit starter-alternator pacuan tali-sawat yang membekalkan kuasa 14hp/150 Nm pada putaran enjin sehingga 2,500 rpm, model E 350 ini dibekalkan dengan kuasa keseluruhan 299 hp dan tork maksima 400 Nm.

Dengan kotak gear sembilan-kelajuan automatik 9G-Tronic, sedan ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

Sistem berkenaan turut menampilkan penggunaan pam air berkuasa elektrik dan unit starter-alternator tersebut juga turut menyokong fungsi lain seperti pemulihan kuasa (sehingga 12 kW ketika membrek), dan juga ‘belayar’ dalam kelajuan konstan dengan enjin petrol dimatikan secara automatik.

E 350 juga menerima sistem suspensi Dynamic Body Control yang lebih jitu dari versi biasa bersama sistem Dynamic Select bagi melaras talaan suspensi, stereng dan janakuasa bergantung pada mod pemanduan yang dipilih.

Pada bahagian luaran, E 350 hadir dengan pakej AMG Line bersama pakej Night, yang terdiri dari apron hadapan AMG, gril radiator Diamond dengan louvre tunggal, serta kemasan hitam berkilat pada penutup cermin sisi dan juga kemasan bampar belakang. Rim aloi lima-jejari berkembar berdiameter 19-inci dan lampu hadapan Multibeam LED bersama Adaptive Highbeam Assist Plus juga adalah standard untuk model ini.

Manakala untuk kabin, model ini menerima kulit Nappa bersama kulit Artico khas untuk AMG Line, roda stereng balutan kulit Nappa pelbagai fungsi AMG, kemasan metal-weave, juga kemasan piano black pada konsol tengah, serta sistem penghawa dingin Thermotronic lebih maju.

Pakej Bantuan Pemanduan dengan lebih fungsi juga diberikan pada model tertinggi ini, yang terdiri dari Pilot Distance Distronic (cruise control adaptif dengan stop & go), Active Lane Keeping Assist (pemanduan separa-autonomus), Active Blind Spot Assist dan brek kecemasan automatik. Untuk kesemua ini, Mercedes-Benz E 350 AMG Line dijual pada harga RM399,888.