Honda HRV e:HEV – perincian sistem hibrid didedah; guna petrol 5.4 l/100 km, pecutan 0-100 km/j 10.6 saat

Honda HRV e:HEV – perincian sistem hibrid didedah; guna petrol 5.4 l/100 km, pecutan 0-100 km/j 10.6 saat

Walaupun sudah didedahkan, Honda HR-V generasi baharu belum lagi mula dijual di Eropah dan dijangka bakal masuk ke pasaran berkenaan pada lewat tahun ini. Namun Honda sedikit demi sedikit mengumumkan perincian-perincian berkenaan model tersebut. Seperti yang diketahui sebelum ini, HR-V pasaran Eropah hanya tampil dengan unit penjana hibrid e:HEV, dan kini perincian berkenaan sistem rangkaian kuasa tersebut didedahkan.

Secara asasnya, sistem e:HEV pada HRV ini sama seperti yang diberikan pada City dan juga Jazz, namun diberikan pelbagai penambahbaikkan. Ia terdiri daripada enjin petrol empat-silinder 1.5 liter i-VTEC kitaran Atkinson berkuasa 106 PS/127 Nm, bersama motor elektrik berkuasa 96 kW (131 PS) dan tork maksima 253 Nm.

Sistem e:HEV ini tidak sama seperti sistem hibrid konvensional jenama lain kerana dalam kebanyakkan masa tayar hadapan SUV kompak ini digerakkan terus menggunakan motor elektrik, manakala enjin petrol yang diberikan hanya bertugas untuk mengecas semula bateri lithium-ion yang memberikan kuasa kepada motor elektrik berkenaan. Namun enjin petrol tersebut turut boleh bertugas untuk memacu roda hadapan, secara spesifiknya pada kelajuan tinggi.

Menurut Honda, dengan sistem ini membolehkan HRV e:HEV memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 10.6 saat. Penggunaan bahan api gabungan pula adalah 5.4 liter untuk setiap 100 km dalam yang dikira berdasarkan kitaran WLTP, dengan kadar penghasilan karbon dioksida 122 gram setiap kilometer.

Honda HRV e:HEV – perincian sistem hibrid didedah; guna petrol 5.4 l/100 km, pecutan 0-100 km/j 10.6 saat

Antara penambahbaikkan sistem e:HEV pada HR-V ini berbanding sistem pada Jazz dan City adalah termasuk meningkatkan jumlah sel bateri dari 48 ke 60. Ini membolehkan lebih banyak kuasa dapat disimpan serta dapat mengeluarkan kuasa dengan kadar lebih besar.

Honda mendakwa bahawa walaupun sel bateri berkenaan kini lebih besar, kejuruteraan semula yang dilakukan membolehkan bateri tersebut tidak mengorban sebarang ruang kabin SUV ini. Honda juga telah memadankan nisbah gear yang lebih pendek pada transmisi kelajuan tunggal yang dibekalkan antara motor elektrik dan roda bagi memberikan pecutan yang lebih baik.

Sama seperti sistem pada Jazz dan City, sistem e:HEV pada HR-V ini akan mengatur dan mengubah antara pacuan elektrik sepenuhnya, hibrid mahupun enjin petrol secara automatik, bagi memberikan pemanduan yang paling efisien berdasarkan situasi.

Ia juga diberikan tiga mod pemanduan yang boleh dipilih – Sport untuk respon pendikit paling tajam; Econ untuk pemanduan ekonomi yang memberikan respon pendikit kurang agresif serta melaras pendingin hawa bagi meningkatkan kecekapan; manakala Normal yang memberikan keseimbangan antara kedua-duanya.

Honda HRV e:HEV – perincian sistem hibrid didedah; guna petrol 5.4 l/100 km, pecutan 0-100 km/j 10.6 saat

Sistem e:HEV ini secara asasnya memang menampilkan operasi pemulihan tenaga kinetik bagi menjana semula tenaga elektrik dalam pemanduan normal. Namun sistem ini boleh dioptimumkan lagi sekiranya pemandu memilih posisi “B” pada pemilih gear bagi meningkatkan regenerative braking. Kekuatan kesan nyah pecut untuk operasi itu juga boleh dilaras menggunakan pedal pada stereng.

Menurut Honda, sistem e:HEV ini adalah lebih efisien berbanding sistem hibrid biasa yang digunakan jenama lain. Transmisi kelajuan tunggal yang digunakan memberikan rintangan yang lebih rendah berbanding kotak gear biasa yang menggunakan mekanisma gear planetary dengan mengurangkan jumlah gear, yang membolehkan pengurangan penggunaan tenaga apabila memandu dengan kuasa elektrik sepenuhnya.

Honda juga mendakwa bahawa sistem e:HEV ini dihasilkan menggunakan pengetahuan yang mereka dapat dalam program pembangunan sistem rangkaian kuasa Formula 1 yang membantu pasukan Red Bull Racing berentap merebut gelaran juara tahun ini. Ia juga menggunakan pengetahuan Honda dalam membina kereta-kereta hibrid selama 20-tahun, bermula dengan Honda Insight generasi pertama pada 1999.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required