Audi RS3 Sedan 2022 kini sah dinobatkan sebagai kereta kompak terpantas di Litar Nürburgring Nordschleife dengan masa catatan satu lap 7 minit 40.748 saat. Rekod berkenaan dibuat oleh pelumba dan juga pemandu pembangunan Audi Sport, Frank Stippler pada Jun lalu.

Rekod baharu ini membolehkan RS3 Sedan berkenaan merampas takhta kereta kompak terpantas di litar “The Green Hell” berkenaan dari Renault Megane Trophy R dengan kelebihan 4.64 saat (7 minit 45.38 saat, rekod lap penuh Nürburgring Nordschleife). Namun Megane Trophy R masih lagi kekal sebagai kereta pacuan hadapan produksi terpantas di litar berkenaan kerana RS3 merupakan jentera pacuan semua roda.

Lawan terus kepada Audi RS3 ini iaitu Mercedes-AMG A 45 S 4Matic+ W177 masih belum membuat sebarang catatan masa rasmi di Nürburgring ini. Namun menerusi cubaan tidak rasmi yang dibuat oleh Sport Auto tahun lalu, A 45 S yang dipandu oleh pelumba professional, Christian Gebhardt berkenaan mencatatkan masa 7 minit 48.8 saat atau sekitar 8 saat lebih perlahan dari RS3.

Menurut Stippler, faktor utama yang membolehkan RS3 mencatatkan rekod ini adalah kerana teknologi pengagih tork pada sistem AWD Quattro yang dipadankan. RS3 merupakan model pertama Audi yang menerima teknologi tersebut, membolehkan agihan tork antara roda kiri dan kanan pada gandar belakang dibuat (boleh dilaras sepenuhnya).

Menerusi teknologi berkenaan, pengagih tork tersebut akan memberikan tork lebih banyak kepada roda belakang sebelah luar yang mempunyai beban lebih besar. Misalnya, ketika ia meredah selekoh ke kanan, tork akan diberikan lebih banyak kepada tayar belakang sebelah kiri, membolehkan RS3 ini masuk ke selekoh dengan sudut putaran stereng lebih tepat.

“Secara amnya, RS3 baharu ini adalah lebih lincah apabila dipandu pada bahagian tengah sehingga pada penghujung selekoh dan apabila mula memecut keluar dari selekoh berkenaan,” kata Stippler dan menambah bahawa “pengagih tork tersebut merupakan satu perbahan yang besar dari segi kelincahan pemanduan.”

Audi RS3 yang dipandu untuk mencatatkan rekod ini menggunakan tayar semi-slick Pirelli P Zero Trofeo R, yang ditawarkan sebagai osyen buat pertama kali pada model produksi sebenar. Ia juga menerima sistem brek seramik di hadapan serta pakej RS Sport Suspension dengan penyerap hentak adaptif.

Sepanjang percubaan mencatatkan rekod ini, Stippler memandu dengan mod pemanduan RS Performance iaitu mod yang ditala khas bagi pemanduan dalam litar lumba, menurut Audi. Mod berkenaan juga mempunyai dua sub-tetapan iaitu Comfort untuk litar dengan permukaan beralun seperti Nürburgring Nordschleife, dan juga tetapan lebih sporty untuk litar dengan permukaan rata seperti Hockenheimring.

Model RS generasi baharu ini dihasilkan dalam versi hatchback dan sedan. Kedua-dua model berkenaan menerima enjin 2.5 liter lima-silinder TFSI yang menghasilkan 400 PS dan tork maksima 500 Nm, digadingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat atau 0.3 saat lebih pantas dari model sebelumnya.

Kelajuan maksima RS3 ini dihadkan pada 250 km/j tetapi masih boleh pakej opsyen yang membolehkan kelajuan maksima 280 km/j dicapai. Namun sekiranya masih tidak cukup, pembeli boleh memilih pakej RS Dynamic yang disertakan dengan sistem brek seramik serta kelajuan maksima yang boleh mencapai 290 km/j.

“Saya sangat bangga untuk keseluruhan pasukan. Semua orang bekerja keras untuk hari ini. Ketika kami mulakan pembangunan, kami tak tahu betapa lajunya kereta sport kompak ini di Nordschleife. Tetapi dalam ujian ketahanan yang dibuat, kami sedar bahawa kami boleh mencapai catatan masa yang baik dan membuat rekod baharu,” kata ketua teknikal projek Audi RS3, Marvin Schwatter.