Geely Holding Group dan Renault Group telah mengumumkan bahawa satu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani bagi mewujudkan satu kerjasama antara kedua-dua syarikat berkenaan. Kerjasama ini dibuat bagi mempercepatkan rancangan “Renaulution” jenama dari Perancis tersebut yang akan ditumpukan pada China dan Korea Selatan sebagai pasaran utama.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan, kedua-dua pihak akan berkongsi sumber dan teknologi bagi membangunkan kenderaan hibrid untuk kedua-dua pasaran yang dinyatakan itu. Secara spesifiknya, di China, Geely akan menyumbang kepakaran mereka bagi membangunkan kereta hibrid yang akan dijual dengan jenama Renault, manakala Renault bakal “menyumbang dari segi strategi jenama, pembangunan saluran dan servis, serta mentakrif pengalaman pelanggan yang lebih teratur.”
Ini merupakan satu langkah yang signifikant diambil oleh Renault untuk kembali ke pasaran China selepas tamatnya kerjasama dengan Dongfeng Motor Group (Dongfeng Renault) tahun lalu. Buat masa sekarang, Renault masih menjalankan kerjasama dengan jenama China lain termasuk dengan Brilliance Jinbei iaitu Renault Brilliance Jinbei yang difokuskan kepada kenderaan komersil.
Satu lagi kerjasama Renault dengan syarikat China adalah eGT Ner Energy Automotive, yang melibatkan Renault, Nissan dan Dongfeng, yang bertanggung jawab untuk membangunkan model elektrik sepenuhnya K-ZE dan juga Dacia Spring Eletric. Selain itu, Jiangxi Jiangling Group Electric Vehicle (JMEV) juga merupakan satu lagi kerjasama Renault dengan syarikat China iaitu Jiangling Motors Corporation Group (JMCG) yang ditumpukan kepada kereta elektrik sepenuhnya.
Manakala di Korea Selatan, Renault Samsung Motors mempunyai pengalaman selama dua dekad dan MoU ini akan membolehkan kedua-dua pihak untuk meneroka lokalisasi model-model yang diasaskan dari platform kenderaan cekap tenaga Lynk & Co bagi pasaran tempatan. Walau bagaimanapun, pengumuman ini tidak disertakan dengan tempoh masa untuk kerjasama berkenaan mahupun menyatakan mana-mana model secara spesifik yang bakal dijual pada pasaran tersebut kelak.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.