Walaupun dengan kesan ekonomi yang disebabkan oleh pandemik Covid-19, Indonesia masih meneruskan usaha membangunkan industri kenderaan elektrik (EV), dan itu bukan hanya melibatkan pengeluaran bahan mentah sahaja, jelas Presiden Joko Widodo.

“Kami mempunyai peluang besar di dalam industri-industri yang sedang berkembang, baik yang utama atau hiliran. Kami perlu membangunkan industri hiliran seperti industri bateri lithium serta pengeluaran kereta elektrik,” ujar beliau seperti dilaporkan oleh Xinhua.

Jokowi menyatakan hala ke arah ekonomi hijau sangat jelas, dengan pasaran dunia mensasarkan produk mesra alam yang rendah karbon, cekap sumber dan merangkumi secara sosial, dan bahawa negara itu perlu terus fokus dan cekal terhadap visi elektrifikasinya — ini strategi yang ditetapkan secara rasmi sejak Ogos 2019.

Yang digariskan dalam draf strategi kerajaan adalah insentif untuk merancakkan pelaksanaan dan pengeluaran EV serta untuk pengilangan bateri, memanfaatkan sumber asli nickel laterite ore yang banyak di negara itu yang diperlukan dalam bateri lithium. Pendekatan lain termasuk pengurangan cukai kepada pengeluar dan pembeli EV juga ada.

Sejak itu, Indonesia bergerak giat untuk merancakkan agenda elektriknya dari pelbagai sudut. Ini telah menjadi teras sebagai rancangan negara itu untuk menjadi pemain utama dalam pengeluaran bateri EV. Mac tahun ini, dilaporkan Indonesia telah membulatkan matlamat berkaitan pengeluaran bateri EV berkenaan, dengan empat syarikat milik negara bersatu untuk membentuk Indonesia Battery Corporation (IBC).

Pelaburan asing kini sudah mula masuk, dengan Hyundai dan LG telah umumkan persetujuan perjanjian masing-masing dengan kerajaan Indonesia untuk membentuk sebuah usaha sama bagi pengeluaran bateri di negara itu. Pembinaan kemudahan baru dijadualkan akan bermula pada suku keempat 2021 dan dijangka siap pada separuh pertama 2023.

Selain bateri, negara itu juga merancakkan pengeluaran EV. Awal tahun ini, Indonesia memaklumkan sasarannya untuk mencapai pengeluaran tahunan sebanyak 600,000 unit kereta dengan elektrifikasi menjelang 2030. Begitu juga untuk menjadikan semua kereta yang dijual di negara itu semuanya EV menjelang tahun 2050.

Dalam perkembangan lain, menteri pengangkutan Republik itu, Budi Karya Sumadi berkata Jumaat lalu bahawa kerja berkaitan peraturan sokongan serta kajian lanjut dan inovasi berkaitan kenderaan elektrik dan menyediakan cetak biru bagi pembangunan industri ini tetap berjalan walaupun dalam waktu pandemik.