Selepas U-Go, Honda melalui rakan kongsinya, Wuyang-Honda telah memperkenalkan satu lagi skuter elektrik untuk pasaran China, iaitu U-Be. Walaupun nampak seperti skuter kecil biasa, U-Be bagaimanapun dinamakan sebagai “basikal elektrik” dalam laman web Wuyang-Honda, mungkin kerana ia mempunyai pedal pengayuh dan motor elektrik itu digunakan sebagai kuasa bantuan.

Ada tiga versi U-Be dengan jarak gerak serta kapasiti bateri lithium ion berbeza ditawarkan. Ia bermula dengan versi 48 V/15 Ah yang dijual pada harga 3,099 yuan (RM2,024), diikuti versi 20 Ah pada harga 3,450 yuan (RM2,253) dan versi 24 Ah berharga 3,750 yuan (RM2,449).

Seperti yang anda boleh lihat, U-Be mempunyai bentuk asas sama seperti U-Go, tetapi ia hanya mempunyai satu tempat duduk sahaja. Pek bateri diletakkan di bawah tempat duduk sementara motor penggerak pula berada di roda belakang. Memandangkan U-Be ini dikategorikan sebagai basikal elektrik, laju maksimumnya mungkin dihadkan pada sekitar 25 km/j.

Melihat kepada kelengkapan, U-Be ini sama sahaja seperti skuter biasa dengan mempunyai lampu LED lengkap di depan dan belakang, bersama lampu penunjuk arah bersepadu, brek cakera, tempat duduk gebu serta panel instrumen LCD.

U-Be menyediakan kedudukan menunggang selesa dengan pemegang yang tinggi serta tempat duduk tebal manakala pada bahagian kaki terdapat ruang luas untuk meletakkan barang. Tinggi tempat duduk U-Be cuma 740 mm, menjadikan ia sesuai untuk pelbagai golongan.