Meskipun pasaran skuter elektrik di China sudah padat, Honda telah melancarkan satu lagi model yang dipanggil sebagai U-Go. Ada dua versi yang ditawarkan, dengan masing-masing mempunyai kuasa serta kelajuan maksimum yang berbeza.
Bagi U-Go varian 800W, ia dijual pada harga 7,499 yuan (RM4,893), dan datang dengan kuasa maksimum 1.2 kW serta laju maksimum 43 km/j. Satu lagi varian mempunyai kuasa maksimum 1.8 kW, boleh mencapai laju maksimum 53 km/j dan dijual pada harga 7,999 yuan (RM5,220).
Kedua-dua model U-Go ini dilengkapi dengan bateri 48 volt 30 Ah, dan ia boleh dicabut dengan mudah untuk dicas atau ditukar dengan bateri lain. Dengan cas penuh, bateri ini dikatakan boleh memberi jarak gerak sehingga 65 km. Motor penggerak pula berada pada hab roda belakang.
Kelengkapan lain pada skuter elektrik ini adalah termasuk ruang simpanan barang di bawah tempat duduk, panel instrumen LCD ringkas yang turut menunjukkan tahap bateri, tinggi tempat duduk 740 mm dan berat 83 kg.
Honda U-Go ini direka sebagai pilihan yang menjimatkan dan ia hanya sesuai digunakan di dalam kawasan yang padat atau di dalam bandar sahaja. Setakat ini masih belum diberitahu sama ada ia hanya akan dijual di China atau juga akan memasuki pasaran lain.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.