BMW Malaysia nampaknya sudah bersedia untuk melancarkan model iX tidak lama lagi kerana sudah dilihat memuat naik teaser ketibaan SUV elektrik penuh tersebut. Mereka yang berminat juga sudah boleh mula mendaftar di laman web mereka. iX diperkenalkan buat kali pertama pada November tahun lalu, sebelum ia muncul di laman web BMW Malaysia sebulan selepas itu.

Ada dua varian yang dipaparkan pada halaman model tersebut, termasuk xDrive40 dan xDrive 50, tetapi mereka belum mengesahkan sama ada kedua-duanya akan tiba. Model iX xDrive50 telah mula dijual di Thailand dan ia dilengkapi dua motor elektrik (satu untuk setiap gandar), dengan kuasa 523 PS (516 hp atau 385 kW) dan 765 Nm tork, sekaligus membenarkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.6 saat.

Sementara itu, tetapan dua motor pada xDrive40 pula menghasilkan kuasa 326 PS (322 hp atau 240 kW) dan 630 Nm tork, dengan pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan pada masa 6.1 saat. Laju maksimum kedua-dua varian adalah 200 km/j. Untuk jarak gerak, xDrive40 yang dilengkapi bateri lithium ion 71 kWh boleh memberikan jarak gerak 425 km sekali cas sementara xDrive50 dengan bateri 105.2 kWh pula boleh pergi sehingga 630 kWh.

Walaupun dengan kapasiti bateri yang berbeza, kedua-dua iX ini datang terus dengan pengecas AC 11 kW, di mana dengan menggunakannya, bateri boleh penuh dalam masa lapan jam bagi xDrive 40 dan bawah 11 jam bagi xDrive50.

Model ini juga boleh digunakan dengan pengecas pantas DC sehingga 200 kW, dan ia boleh menaikkan tahap bateri dari 10% ke 80% dalam masa sekitar 35 minit. Kadar pengecasan DC xDrive40 adalah lebih rendah, iaitu 150 kW, tetapi disebabkan kapasiti bateri yang lebih kecil, kadar pengecasan yang sama boleh dicapai dalam masa cuma 31 minit. Jika pengguna boleh menjumpai pengecas DC dengan output yang dinyatakan, mereka boleh mendapat jarak gerak 100 km selepas mengecas selama enam minit bagi xDrive50 dan lapan minit bagi xDrive 40.

Kita boleh melihat pelbagai pilihan warna serta senarai kelengkapan untuk iX, tapi bagi model yang bakal tiba di Malaysia, setakat ini kita masih belum mengetahui bagaimana keadaan sebenarnya. Harga serta tarikh pelancaran sebenar juga masih belum diberitahu.

GALLERY: BMW iX xDrive40


GALLERY: BMW iX xDrive50 with Sport package