Sejak Triumph mengeluarkan Trident 660, mungkin ramai yang sudah menjangka asasnya akan dikembangkan lagi untuk menjadi model lain. Nampaknya ia memang benar kerana Triumph mula mengeluarkan teaser model dikenali sebagai Tiger Sport 660, yang sedang melalui ujian akhir.
Tiada sebarang perincian yang didedahkan berkenaan model ini, tetapi seperti yang anda boleh lihat, bentuknya sudah kelihatan seperti motosikal produksi (hanya tinggal pelekat camouflage sahaja), sekaligus memberikan idea pelancaran yang mungkin akan berlaku tidak lama lagi.
Disebabkan ia menggunakan asas daripada Trident 660, kita boleh mengagak beberapa perincian seperti enjin tiga silinder DOHC 660 cc, kotak gear enam kelajuan dengan klac jenis slip & assist dan panel instrumen TFT. Pada Trident, enjin ini mampu menghasilkan kuasa 80 hp dan 64 Nm tork, sementara pada Tiger Sport nanti, kita boleh menjangka akan ada sedikit perubahan pada jumlah kuasa keseluruhan, maklum balas penyampaian kuasa atau juga mod tunggangan.
Memandangkan Tiger Sport 660 ini adalah sebuah model touring, kedudukan menunggangnya dijadikan lebih tegak dan tinggi, namun kita masih tidak mengetahui sama ada cuma bahagian pemegang sahaja yang ditukar atau suspensi juga sama. Fairing yang digunakan mempunyai bentuk tajam seperti pencabar sasarannya, iaitu Tracer 7, manakala penghadang angin juga masih tidak diketahui sama ada boleh dilaras ataupun tidak.
Satu lagi yang kami perasan, di bawah tempat duduk belakangnya sudah ada tapak untuk menyangkut beg barangan, yang bermakna pemilik tidak perlu membeli rak berasingan untuk memasang beg. Tetapan brek juga kelihatan sama seperti Trident, iaitu unit cakera berkembar di hadapan dan cakera tunggal di belakang, dan kedua-duanya dipadankan bersama angkup Nissin.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.