Dewan Perwakilan Filipina baru-baru ini telah meluluskan pembentangan akhir Akta Pembangunan Industri Kenderaan Elektrik di negara itu, seperti dilaporkan oleh Autoindustriya dan Philippine News Agency.

Kelulusan rang undang-undang tersebut, yang menyaksikan sokongan penuh 195 perwakilan, dilihat sebagai penanda aras baru negara itu dalam usahanya untuk menjadi hab bagi kenderaan elektrik. Negara ASEAN lain seperti Thailand dan Indonesia telah mengumumkan matlamat dan perancangan EV masing-maisng, dan Filipina juga tidak mahu ketinggalan.

Akta Pembangunan Industri Kenderaan Elektrik tersebut bertujuan untuk menyokong pembangunan polisi kebangsaan dan kerangka kawal selia untuk meningkatkan kadar penggunaan EV di negara itu. Ini akan meliputi bukan sahaja pengeluaran okal dan penggunaan EV, tetapi juga janaan peluang pekerjaan dan pengurangan kebergantungan terhadap bahan api import.

Faktor penting rang undang-undang tersebut adalah Pelan Komprehensif Industri Kenderaan Elektrik (CREVI), yang akan memberi kesan terhadap pelan pembangunan dicipta untuk dijadikan garis panduan bagi pihak-pihak berkepentingan. Ini termasuk piawaian dan spesifikasi EV serta stesen pengecas, pembinaan industri pengilangan EV tempatan dan infrastruktur rantaian bekalan, memperkukuh R&D untuk teknologi berkaitan EV dan latihan tenaga kerja berkaitan EV.

Infrastruktur juga menjadi aspek teras dalam CREVI, yang mencadangkan stesen pengecas sebagai keperluan di tempat-tempat awam tumpuan, stesen minyak dan parkir EV. Sebagai tambahan, entiti swasta dan kerajaan yang mempunyai lebih daripada 20 kenderaan dalam armada mereka perlu memastikan sekurang-kurangnya 10% daripadanya adalah EV.

Bagi memastikan pelan ini dilaksanakan dengan efektif, akan ada badan antara agensi yang dikenali Lembaga Penasihat Kenderaan Elektrik (EVAB) yang ditugaskan untuk mewujudkan polisi untuk mempercepat pertumbuhan industri EV. EVAB akan mempunyai ahli daripada pelbagai agensi kerajaan serta pemain industri.