Lima pengeluar kereta dari Jepun (Honda, Mazda, Nissan, Subaru dan Toyota) serta lima pembekal komponen automotif (Aisin, Jatco, Denso, Panasonic dan Mitsubishi Electric) telah bersetuju untuk menstandardkan cara rekaan kenderaan bagi membolehkan pembangunan dibuat dengan cara lebih cepat serta mengurangkan kos.

Kesemua sepuluh syarikat ini mengumumkan bahawa mereka akan menjadi ahli perintis bagi entiti baharu yang dinamakan sebagai Japan Automotive Model-Based Engineering (JAMBE), yang disasarkan bagi mempromosikan penggunaan pembangunan berasaskan model (MBD).

Dengan MBD, semua komponen akan dihasilkan dalam bentuk digital bagi menghasilkan kereta maya yang kemudiannya boleh digunakan dalam pelbagai simulasi, bagi membolehkan jurutera mengenalpasti masalah-masalah yang berpotensi serta mencari penyelesaian sebelum meneruskan pembangunan produk. Berbanding menghasilkan dan menguji prototaip sebenar, cara ini bukan hanya lebih cepat, ia juga jauh lebih efektif terhadap kos.

Beberapa pengeluar automotif utama sudahpun menggunakan MBD untuk pembangunan kereta mereka, tetapi kini JAMBE turut membawa pembekal komponen bersama-sama, membolehkan model yang sama digunakan oleh kesemua syarikat dalam jaringan kejuruteraan untuk mendapatkan kadar efisien lebih tinggi.

MBD ini juga membolehkan banyak syarikat mengurangkan keperluan untuk melakukan pelbagai kerja semula atau mengubahsuai rekaan bagi memenuhi keperluan setiap pengeluar automotif, yang juga mengurangkan masa dan mengurangkan kos.

“Kami tiada masa yang banyak untuk menyelesaikan masalah yang berbeza antara kenderaan dan pembuat komponen,” kata Mitsuo Hitomi, felow innovasi senior di Mazda, seperti yang dilaporkan oleh Nikkei Asia. “Kami akan menambahbaik kadar efisien di mana yang boleh supaya kami boleh fokus untuk melabur dalam perkara seperti teknologi-teknologi mesra alam,” tambahnya.

Mazda telahpun menggunakan MBD apabila memperkenalkan teknologi SkyActiv yang ditampilkan pada CX-5 generasi pertama, didedahkan pada 2012. Pengeluar lain seperti Honda dan Toyota juga telah menggunakan MBD dan kaedah ini sudahpun menjadi kaedah arus perdana dalam industri, namun pembekal komponen masih sedang mengadaptasi kaedah tersebut. Ini disebabkan bajet yang terhad, dengan pembekal peringkat bawah masih berharap kepada kemahiran jurumesin dan tidak menggunakan rekaan dan pembangunan digital.

Penubuhan JAMBE ini disasarkan untuk mewujudkan industri di mana model digital dan dikongsi oleh semua, menghubungkan penyelidikan akademik dengan pembangunan komponen, sistem dan kenderaan. Ini membolehkan ksemua pihak berkoordinasi dan membuat pelarasan secara digital dari peringkat asas pembangunan.