TOM’S hasilkan GR Supra kenang Paul Walker – 426 PS, RM487k, terhad hanya 3 unit untuk pasaran Jepun

TOM’S hasilkan GR Supra kenang Paul Walker – 426 PS,  RM487k, terhad hanya 3 unit untuk pasaran Jepun

Ingat lagi babak akhir filem Fast & Furious 7 di mana Brian O’Conner berpisah dengan Dominic Toretto pada satu susur dengan berlatarkan lagu See You Again yang dinyanyikan oleh Wiz Khalifa? Seperti yang diketahui babak berkenaan dilakonkan oleh adik Paul Walker, iaitu Cody Walker dengan mukanya diubah dengan teknik CGI agar benar-benar menyerupai Paul.

Ini kerana Paul tidak sempat menyudahkan sedikit lagi bahagian akhir filem berkenaan, kerana terlibat dalam satu kemalangan maut yang mengorbankan nyawa. Babak tersebut juga sebenarnya menggunakan Toyota Supra A80 milik Paul Walker sendiri, yang membayangkan perpisahan selama-lamanya dengan keluarga saga filem berkenaan.

Bagi meraikan ulang tahun ke-20 sejak filem pertama The Fast and The Furious ditayangkan pada 2001, penala yang sinonim dengan Toyota dari Jepun, TOM’s dengan kerjasama majalah fesyen juga dari Jepun iaitu Safari menghasilkan model talaan khas berasaskan model generasi terkini GR Supra, yang diinspirasikan dari Supra Mk4 milik Paul Walker tersebut.

Pada bahagian luaran, GR Supra edisi khas yang dihasilkan TOM’S ini diberikan penampilan seperti Supra Paul Walker berkenaan, termasuk penggunaan rim 20-inci BBS LM, spoiler ‘tiang gol’ seakan spoiler belakang asli Supra Turbo JZA80, dan juga cat badan berwarna putih matte.

TOM’S hasilkan GR Supra kenang Paul Walker – 426 PS,  RM487k, terhad hanya 3 unit untuk pasaran Jepun

Bukan hanya penampilan, TOM’S turut melakukan sentuhan semula terhadap prestasi GR Supra berkenaan. Enjin BMW B58 3.0 liter enam silinder dengan dua pengecas turbo pada perut GR Supra tersebut masih dikekalkan. Namun dengan pemadanan TOM’S Power Box yang mampu meningkat tekanan boost turbo, enjin berkenaan kini menjana kuasa keseluruhan 426 PS, atau 39 PS lebih berkuasa dari jumlah 387 PS dalam keadaan asal.

TOM’S juga telah menggantikan set suspensi asal dengan set penyerap hentak boleh laras KW Variant 3, yang bukan sahaja memberikan pengendalian lebih baik, malah turut merendahkan lagi kedudukan badan GR Supra berkenaan bagi memberikan stance yang lebih bergaya.

Model edisi khas ini hanya dihasilkan sebanyak tiga-unit oleh TOM’S. Manakala pembeli yang berminat perlu menyertai cabutan loteri untuk melayakkan mereka membeli kereta berkenaan, dengan cara memohonnya menerusi kedai mail-order Safari bermula 31 Oktober ini.

TOM’S GR Supra istimewa ini akan dijual pada harga 12,970,000 yen (RM487,000), atau 5,657,000 yen (RM212,400) lebih mahal dari GR Supra RZ biasa yang dijual pada harga 7,313,000 yen (RM274,600) di pasaran Jepun.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required