Honda City 2021 vs 2020 — perbandingan antara generasi GN terbaru dan GM sebelumnya di Malaysia

Honda City 2021 vs 2020 — perbandingan antara generasi GN terbaru dan GM sebelumnya di Malaysia

Bagi sedan segmen B, sekiranya sudah terpanggil untuk memilikinya dari jenama Honda melalui modelnya City, varian mana satu yang berbaloi, dan apa perbezaannya? Untuk ini, kami mempertemukan dua versi hibrid bagi model berkenaan, satu dari versi yang paling baru, dan satu lagi dari generasi sebelumnya, yang berada di bilik pameran tempatan hingga tahun 2020.

City Hybrid berkenaan dilancarkan di sini pada Julai 2017, beberapa bulan selepas versi facelift GM diperkenalkan. Dijual pada harga RM89,200, ia ditawarkan antara varian pertengahan E (RM84,600) dan varian paling tinggi V (RM92,000). Malaysia menjadi pasaran tunggal di luar Jepun yang memperkenalkan model ini secara rasmi, ketika itu.

Sama seperti Jazz, City Hybrid generasi sebelum ini menggunakan sistem Sport Hybrid i-DCD (Intelligent Dual-Clutch Drive) yang menggabungkan enjin 1.5 liter dengan kotak gear automatik klac-berkembar tujuh-kelajuan dan motor elektrik bersepadu, bateri lithium-ion dan pemampat pacuan elektrik.

Enjin kitaran Atkinson DOHC i-VTEC ini menghasilkan 110 PS dan 134 Nm tork. Bersama dengan motor elektrik yang membekalkan 30 PS/160 Nm, output gabungannya ialah 137 PS dan 170 Nm. Honda mendakwa yang Sport Hybrid i-DCD ini memberikan prestasi yang sama dengan enjin konvensional 1.8 liter NA, tetapi dengan penggunaan minyak yang lebih rendah. Kadar yang didakwa ialah 3.9 liter per 100 km, atau 25.6 km/l. Saiz but masih sama, 536 liter.

Generasi GN yang terbaru bagi City pula dilancarkan Oktober tahun lalu. Varian e:HEV RS Hybrid digunakan sebagai kereta hero untuk kempen pengenalannya, tetapi tidak hingga Mac 2021 barulah ia mula dijual. Kali ini, versi hibridnya menjadi varian paling tinggi, dengan penampilan RS, kelengkapan spesifikasi dan juga harganya (RM105,950 dengan pengecualian SST).

Sistem hibridnya juga serba baru. Berbanding motor elektrik yang membantu enjin, seperti IMA dan i-DCD sebelum ini, e:HEV memanfaatkan sistem dua motor i-MMD hibrid yang menggunakan motor elektrik 108 PS/253 Nm untuk menggerakkan kereta ini pada kebanyakan masa. Sementara enjin 1.5 liter kitaran Atkinson i-VTEC dengan janaan 98 PS/127 Nm digunakan hanya sebagai generator untuk mengecas baterinya, yang menguasakan motor. Output keseluruhan sistem ialah 126 PS.

Enjin terbabit juga boleh “disambung” melalui transmisi satu-kelajuan (tiada lagi DCT) untuk memacu kereta ini secara langsung ketika kelajuan tinggi, menjadikannya lebih cekap. Ketika dalam situasi beban tinggi, misalnya sewaktu memotong, kedua-dua sumber tenaga itu boleh digunakan untuk memberi pecutan maksimum. Disebabkan enjin boleh menguasakan kereta ini secara langsung dalam beberapa keadaan, i-MMD tidaklah sama seperti e-Power Nissan, yang merupakan sistem range extender EV.

MMD bermaksud Multi-Mode Drive, dan ada tiga mod pemanduan. Kereta ini akan sentiasa bermula dalam mod EV Drive dan senyap. Enjin hanya akan kedengaran berbunyi sekiranya ada keperluan untuk mengecas bateri lithium-ion 1.3 kWh, yang menguasakan motor.

Dalam keadaan pecutan penuh, ia akan memasuki mod Hybrid Drive. Motornya masih lagi jadi penggerak utama, tetapi enjin akan rev lebih tinggi untuk memberikan lebih kuasa kepada bateri. Engine Drive adalah ketika enjin mengambil alih tugas menggerakkan daripada motor untuk menghantar kuasa ke roda dalam keadaan kelajuan tinggi.

Jika sebelum ini Honda membandingkan prestasi pecutan sistem hibrid i-DCD dengan enjin 1.8L NA, kali ini ia beralih pula untuk membandingkan hibrid terbaru ini dengan Toyota Camry — yang menggunakan enjin 2.5L NA — dalam iklannya bagi City e:HEV RS Hybrid. Penjimatan adalah lebih penting dengan model hibrid, dan model ini memberikan 3.77 liter per 100 km, atau 26.5.km/l. Ini satu peningkatan, tetapi IPU (intelligent power unit) bagi kereta terbaru ini diletakkan di belakang, yang mengurangkan kapasiti ruang but kepada 409 liter (kurang 110L). Ia juga datang dengan kit tayar dan bukan tayar ganti space saver lagi.

Versi hibrid ini hanya menyumbang sedikit sahaja kepada jumlah jualan City — kebanyakan pengguna memilih enjin 1.5 liter i-VTEC NA, yang menghasilkan 121 PS/145 Nm. Kini dengan unit DOHC dan VTC, ia digandingkan bersama kotak gear CVT.

City GN generasi kelima ini 111 mm lebih panjang (4,553 mm) dan 54 mm lebih lebar (1,748 mm) berbanding sebelumnya. Ini disertai juga dengan ketinggian yang berkurangan 10 mm, dan jarak antara roda yang kekal sama 2,600 mm. Sebab itu bentuk antara keduanya boleh dilihat agak berbeza.

Model GN terbaru tampil dengan bahagian depan yang lebih tinggi (dengan “dahi” menonjol), serta garis sisi badannya juga lebih lurus hingga ke belakang. Begitu juga dengan garis tingkapnya. Sebagai perbezaannya, semua garis profil pada model GM sebelumnya agak meninggi ke belakang, dengan bahagian but nampak lebih tinggi berbanding model terbarunya. Garis bumbung kereta terbaru ini juga sedikit lebih rendah. Penampilan antara keduanya boleh dibezakan dengan sangat mudah.

Akhir sekali, harganya. City e:HEV RS Hybrid terbaru mengejutkan ramai dengan harga RM105,950. Reaksi ini boleh difahami, kerana jarang kereta segmen B melepasi harga RM100k, dan jangkaannya kereta hibrid akan lebih murah. Tetapi, hibrid biasanya melibatkan lebih banyak perkakasan dan teknologi maju, dan memang akan menelas kos yang lebih berbanding model enjin biasa. Honda Malaysia juga memang sudah mendedahkan sejak awal bahawa model hibrid GM ini akan dijual melebihi RM100k sekiranya tanpa insentif cukai. Tambahan pula hibrid ini ialah penawaran varian paling tinggi.

Premium RM19k berbanding model City 1.5V itu melibatkan roda 16-inci unik, cakera brek di belakang, brek parkir elektrik dengan Auto Hold, panel instrumen digital, dalaman balutan kulit dengan benang merah, pedal aluminium dan pek keselamatan Honda Sensing.

GALERI: Honda City e:HEV RS Hybrid 2021

GALERI: Honda City Hybrid 2017

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required