Honda Malaysia baru sahaja menambah satu lagi variasi dalam barisan model City iaitu City Hybrid, dengan harga atas jalan tanpa insurans RM89,200. Seperti yang dijangka sebelum ini, harga ini meletakkan model hibrid ini di antara varian E pertengahan yang berharga RM84,600 dan varian tertinggi V yang berharga RM92,000.

Perletakan model City Hybrid ini adalah langkah sama seperti yang dilakukan pada Jazz Hybrid – juga bukan model paling tinggi di dalam pilihan variannya. Selain itu, penawaran City Hybrid di Malaysia juga menjadikan negara ini satu-satunya negara yang menerimanya selain Jepun – sama seperti Jazz Hybrid.

Seperti yang didedahkan, model City Hybrid ini – juga dikenali sebagai Grace Hybrid di Jepun (model facelift) – berkongsi enjin hibrid sama dengan Jazz Hybrid. Maknanya, ia adalah sistem Sport Hybrid i-DCD yang menggabungkan enjin 1.5 liter dengan ciri idle stop, kotak gear klac berkembar tujuh kelajuan dengan motor elektrik bersepadu, bateri lithium-ion dan compressor elektrik.

Enjin yang digunakan pada model hibrid ini tidak sama dengan enjin City facelift, dan ia adalah unit DOHC i-VTEC kitaran Atkinson yang berkemampuan 110 PS dan 134 Nm tork pada tahap 5,000 rpm. Digabungkan dengan motor elektrik 30 PS (22 kW)/ 160 Nm, keseluruhan sistem ini mampu menjana 137 PS dan 170 Nm tork, sama seperti Jazz Hybrid.

Menurut Honda, sistem Sport Hybrid i-DCD (Intelligent Dual-Clutch Drive) ini dapat menghasilkan prestasi sama seperti enjin 1.8 liter NA biasa (Civic 1.8 berkemampuan 4 PS/ 4 Nm lebih), dan menggunakan kurang bahan api. Jumlah yang disiarkan adalah 4.0 liter bagi setiap 100 km untuk Jazz Hybrid dan 3.9 liter setiap 100 km untuk City Hybrid.

Untuk mengetahui bagaimana sistem Sport Hybrid i-DCD ini berbeza jika dibandingkan dengan Integrated Motor Assist (IMA) sebelum ini, anda boleh melihat di sini.

Kapasiti ruang simpanan but belakang City Hybrid ini adalah sama dengan City biasa iaitu 536 liter, menggunakan rim 16 inci dengan tayar 185/55 (Jazz menggunakan rim 15 inci dan tayar 175/65), dan mempunyai radius pusingan 5.7 meter (5.26 m pada Jazz).

Pada aspek kelengkapan, City Hybrid mempunyai lebih banyak kelengkapan berbanding Jazz Hybrid yang berharga lebih murah (RM87,500). Sedan ini mendapat antena bentuk sirip, pemegang pintu krom, cermin sisi boleh lipat automatik, corong pendingin hawa belakang, pedal penukar gear di stereng dan perehat tangan dengan tempat meletak cawan. Semua ini tiada pada Jazz Hybrid, bersama pembuka but jarak jauh dan soket pengecas USB.

Sebagai sebuah varian yang terletak di bawah City varian V, City Hybrid tidak mempunyai lampu utama dan lampu kabus LED, tempat duduk, stereng dan tombol gear yang dibalut kulit, dan beg udara bidai. Walaupun begitu, beberapa ciri adalah khas untuk model hibrid iaitu panel instrumen dan tombol gear.

Pilihan warna yang disediakan untuk City Hybrid adalah Lunar Silver Metallic, Modern Steel Metallic dan White Orchid Pearl. Ia datang dengan jaminan tanpa had batuan selama lima tahun dan jarak servis berkala 10,000 km, sama seperti City biasa. Untuk bateri lithium-ion yang digunakan pula, ia diberi jaminan tambahan lapan tahun.

Kedua-dua City dan Jazz Hybrid dipasang di Melaka, dan bagi City Hybrid, pengeluarannya sudah pun bermula dan boleh mula dipandu uji oleh orang ramai di pengedar rasmi Honda Malaysia bermula pertengahan bulan Ogos. Jazz Hybrid akan berada di pusat pameran bermula hujung minggu ini.

Anda juga boleh membandingkan City Hybrid ini dengan varian lain seperti S, E dan V, ataupun kenderaan lain melalui laman CarBase.my.