Awal tahun ini Honda Malaysia mendedahkan mereka akan melancarkan lagi dua model baharu selain empat model yang telah pun dilancarkan secara rasmi iaitu SUV segmen-B Honda BR-V, Honda City facelift 2017, Honda Jazz facelift dan Jazz i-DCD Sport Hybrid, serta SUV segmen-C Honda CR-V generasi baharu.

Antara dua model yang dijangkakan tersebut, Honda Civic Type-R yang sudah hampir pasti bakal mendarat ke pasaran Malaysia, manakala sebuah lagi model yang kami jangkakan merupakan model hibrid kini telah terdedah setelah pembaca Kerol Najor menghantar brosur Honda City i-DCD Sport Hybrid ini kepada kami.

Ini bermakna, sama seperti Jazz, Malaysia juga satu-satunya pasaran di dunia yang menerima City Hybrid selain dari Jepun (dikenali sebagai Grace Hybrid untuk versi JDM). Berdasarkan brosur tersebut, City Hybrid ini banyak mengambil ciri sama dari kembar hatchbacknya iaitu Jazz i-DCD Sport Hybrid. Ia diberikan kelengkapan seperti City petrol varian pertengahan iaitu gred E – diberikan lampu hadapan halogen, lampu nyalaan siang dan lampu belakang LED, sistem infotainmen dengan skrin Display Audio 6.8-inci, serta upholsteri fabrik.

Walau bagaimanapun, City Hybrid ini diberikan cermin pandang sisi boleh lipat automatik dan juga pedal penukar gear pada stereng (kedua-dua ciri ini tiada pada Jazz Hybrid), antenna radio sirip yu dan juga pemegang pintu bersalut krom, tetapi ia tidak diberikan lampu kabus seperti pada Jazz Hybrid.

City versi lebih mesra alam ini digerakkan oleh janakuasa yang sama iaitu sistem i-DCD (Intelligent Dual-Clutch Drive) Sport Hybrid yang mengabungkan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC kitaran Atkinson bersama motor elektrik dengan suapan kuasa dari bateri lithium-ion menghasilkan kuasa akhir 137 PS/170 Nm. Sistem berkenaan juga menggabungkan transmisi automatik klac-berkembar (DCT) tujuh kelajuan yang membolehkannya beroperasi dalam keadaan elektrik sepenuhnya, tanpa menghidupkan enjin petrol (mengikut mod yang sesuai).

Sama juga seperti Jazz Sports Hybrid, City ini bakal menerima talaan casis lebih sporty melibatkan pelarasan semula pada kadar spring, penyerap hentak serta rak stereng lebih laju.

Dengan bateri hibrid diletakkan pada but belakang, ruang kargo sedan segmen-B ini kekal seperti versi petrol sepenuhnya dengan muatan 536 liter, tetapi tidak berikan tayar ganti (diganti dengan kit baikpulih sementera tayar, sama seperti Jazz Hybrid).

Walau bagaimanapun, brosur ini masih lagi belum mendedahkan harga yang bakal ditawarkan oleh Honda Malaysia bagi sedan segmen-B hibrid ini. Tetapi, jika ia dijual pada harga lebih kurang dengan harga Jazz Sports Hybrid (RM87,500), model ini mungkin sedikit sebanyak akan memberikan tekanan kepada sebuah lagi model hibrid mampu milik iaitu Hyundai Ioniq, yang kini dijual pada harga bermula RM100k.