GALERI: Honda Civic Type-R 2017 FK8 bersama hatchback generasi terdahulu – EP3, FN2, dan FK2

GALERI: Honda Civic Type-R 2017 FK8 bersama hatchback generasi terdahulu – EP3, FN2, dan FK2

Minggu lalu, rakan penulis kami dari paultan.org bahasa inggeris, Danny Tan, telah berpeluang ke litar EuroSpeedway Lausitz, Jerman untuk menghadiri sesi media untuk Honda Civic Type-R Eropah. Dalam acara berkenaan, Honda bukan sahaja membawa model generasi baharu FK8, malah mereka turut membawa Civic Type-R versi Eropah generasi-generasi sebelum ini iaitu EP3, FN2, dan juga FK2.

Mengapa EK9 dan FD2R tidak disertakan sekali pada sesi kali ini? Seperti yang telah dikupas pada artikel sempena 25 tahun legasi Honda Type-R sebelum ini, bukan hanya Honda Jepun yang menghasilkan model-model Type-R, malah Honda UK turut membina versi mereka di kilang Swindon, UK bermula dengan Honda Accord Type-R (CH-1) pada tahun 1999.

Keempat-empat Civic Type-R yang dipertemukan pada sesi kali ini mempunyai persamaan antara mereka, iaitu memulakan hayat masing-masing juga di kilang Swindon, manakala EK9 dan FD2R adalah model khas JDM yang dibina oleh Honda Jepun.

GALERI: Honda Civic Type-R 2017 FK8 bersama hatchback generasi terdahulu – EP3, FN2, dan FK2

Setelah berjaya menghasilkan Accord Type-R, Honda UK diberi peluang pula untuk membina Civic Type-R versi mereka pada tahun 2001. Untuk membezakan keluarannya dengan Honda Jepun, Civic Type-R berkenaan menggunakan kerangka Civic versi khas untuk pasaran Eropah sahaja iaitu Civic generasi ketujuh hatchback siri EP (ketika ini pasaran Malaysia/Asia hanya menerima Civic generasi ketujuh versi sedan empat-pintu dari siri ES).

Civic Type-R EP3 menampilkan bentuk cermin tingkap sisi (hadapan dan belakang) yang diinspirasikan dari Civic ‘bullet’ iaitu Civic hatchback generasi kelima (EG). Model ini dikuasakan oleh enjin DOHC i-VTEC Honda generasi baharu K20A 2.0 liter berkuasa 197 hp pada takat 7,400 rpm dan tork maksima 196 Nm pada takat 5,900 rpm.

Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan manual dengan short-shifter. Tetapi, kotak gear pada Civic Type-R UK ini tidak menerima unit LSD heliks, malah ia turut tidak diberikan dengan tempat duduk dari Recaro (ia tetap diberikan tempat duduk bucket dan kemasan-kemasan dalaman lain berwarna merah.

Walau bagaimanapun, kilang Swindon ada menghasilkan Civic Type-R EP3 yang dikhaskan untuk dieksport kembali ke Jepun dalam jumlah terhad. Model berkenaan diberikan enjin K20A yang lebih berkuasa, menjana 212 hp dan turut dilengkapi LSD heliks, tempat duduk Recaro serta perincian-perincian lain yang lebih premium.

Honda UK kembali membina Civic Type-R baharu menggunakan kerangka Civic hatchback Eropah generasi kelapan iaitu dari siri FN di kilang Swindon. Model ini masih menggunakan enjin 2.0 liter DOHC i-VTEC K20A berkuasa 198 hp/193 Nm dan juga kotak gear manual enam-kelajuan lengkap dengan LSD heliks.

Walau bagaimanapun, prestasi Civic Type-R FN2 ini kurang memberangsangkan berbanding model terdahulu kerana asas Civic Eropah itu sendiri yang dibina berdasarkan platform yang agak seiras dengan Honda Jazz, menampilkan suspensi torsion beam pada bahagian belakang (berbanding sistem bebas multilink pada EP3) serta tangki minyak yang ditempatkan di bawah tempat duduk hadapan.

Walaupun FN2 mendapat kritikan di Eropah, perkara sebaliknya berlaku di Jepun. Honda Jepun turut menghasilkan Civic Type-R generasi baharu versi mereka, menggunakan kerangka Civic sedan empat pintu generasi kelapan iaitu FD2. Asas Civic FD itu sendiri merupakan Civic paling sempurna pernah dihasilkan pada ketika itu, menampilkan bukan sahaja rupa yang sporty dan dan juga futuristik, ia turut diberikan sistem suspensi yang bagus dan juga kerangka yang lebih dinamik.

Honda Civic Type-R FD2 antara model Type-R terbaik pernah dihasilkan oleh Honda Jepun, malangnya, kereta berkenaan merupakan model Type-R terakhir yang dikeluarkan oleh mereka. Model ini juga merupakan satu-satunya Type-R yang dibawa masuk ke negara kita secara rasmi oleh Honda Malaysia (dan juga satu-satunya pasaran luar Jepun yang menerimanya), dijual pada harga RM200k ketika itu.

Pengumuman Honda untuk menghentikan pembinaan model-model Type-R sebelum ini ternyata hanya berkuatkuasa untuk Honda Jepun, tetapi tidak melibatkan Honda UK. Pada 2014, Honda UK mengesahkan Civic Type-R generasi baharu akan dibina di kilang Swindon mereka.

Model berkenaan akhirnya didedahkan secara rasmi di Geneva Motor Show 2015, bersama Honda NSX generasi kedua. Type-R baharu ini diasaskan dari Civic hatchback lima-pintu pasaran Eropah, yang turut membawa sekali sistem suspensi torsion beam pada bahagian belakang.

Namun apa yang menjadi perhatian pada model baharu ini adalah enjinnya, di mana ia dikuasakan oleh enjin K20C 2.0 liter empat silinder VTEC Turbo suntikan bahan api terus yang mampu menjana 306 hp pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 2,500 hingga 4,500 rpm. Ini menjadikan FK2R ini sebagai Civic Type-R paling berkuasa dalam sejarah ketika itu dan juga Type-R pertama diberikan pengecas turbo.

Kuasa liar berkenaan disampaikan ke roda hadapan menerusi kotak gear enam-kelajuan manual lengkap dengan LSD heliks, membolehkan ia mencatatkan pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 5.2 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 285 km/j. Honda turut memadankan butang R+ pada model ini yang meningkatkan respon casis, pendikit dan juga enjin bagi memberikan sensasi pemanduan yang lebih mengujakan.

GALERI: Honda Civic Type-R 2017 FK8 bersama hatchback generasi terdahulu – EP3, FN2, dan FK2

Kehadiran Civic FK2R ini dalam pasaran seolah-olah Honda ‘melancarkan serangan’ ke atas model-model hot-hatch pacuan roda hadapan di Eropah termasuk Renault Megane RS, Volkswagen Golf GTI dan juga Ford Focus ST.

Setahun sebelum Civic ini diperkenalkan, Renault Megane RS 275 Trophy-R telah dinobatkan sebagai kereta pacuan hadapan paling pantas di litar Nurburgring dengan catatan masa 7 minit 54.36 saat. Rekod berkenaan kemudiannya dipecahkan pula oleh Honda Civic Type-R dengan catatan masa 7 minit 50.63 saat. Walau bagaimanapun, rekod tersebut telah dipecahkan sekali lagi pada tahun lalu oleh Volkswagen Golf GTI Clubsport S dengan catatan masa 7 minit 49.21 saat.

GALERI: Honda Civic Type-R 2017 FK8 bersama hatchback generasi terdahulu – EP3, FN2, dan FK2

Namun seperti dijangka, selepas pengenalan Civic Type-R generasi baharu (dikenali dengan kod casis FK8), rekod berkenaan sekali lagi bakal dirampas kembali oleh Honda. FK8 masih dikuasakan enjin yang sama dari FK2, cuma kuasa dapat diekstrak hanya lebih 10 PS dari sebelum itu manakala angka tork maksimanya masih kekal 400 Nm.

Tetapi dengan suspensi multilink yang mengambil alih tempat suspensi torsion beam sebelum ini, dan juga kit aerodinamik yang lebih agresif, FK8 berjaya mencatatkan masa 7 minit 43.8 saat – 6.83 saat lebih pantas dari FK2 dan 3.39 lebih laju dari Golf GTI Clubsport S – membolehkan ia dinobatkan sebagai kereta pacuan hadapan paling pantas di litar “The Green Hell” tersebut.

GALERI: Honda Civic Type-R EP3

GALERI: Honda Civic Type-R FN2

GALERI: Honda Civic Type-R FK2

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required