Proton Saga Iswara 1994 yang dijumpai dalam bangsal di UK kini dipandu dengan kerap oleh pemilik baharu

Proton Saga Iswara 1994 yang dijumpai dalam bangsal di UK kini dipandu dengan kerap oleh pemilik baharu

Bulan lalu, agak tular di media sosial berkenaan seorang youtuber dari UK menemui dan membeli sebuah Proton Saga 1994 (dikenali sebagai Saga Iswara di Malaysia) yang sudah lama terbiar dalam sebuah bangsal, tetapi berada dalam keadaan yang cukup baik.

Pemilik baharu Saga tersebut, Stephanie Holloway dari saluran YouTube Idriveaclassic, hari ini menyiarkan satu video baharu mengenai status terbaharu kereta berkenaan. Menurut Steph, oleh kerana keadaan kereta tersebut yang cukup baik ketika dijumpai, tidak banyak yang perlu dilakukan.

Setakat ini dia hanya melakukan servis-servis asas seperti menukar minyak enjin dan sebagainya, serta menukar satu set tayar baharu untuk Saga berkenaan. Dan selepas kereta tersebut diselamatkan, ia tidak hanya disimpan, malah dipandu dengan kerap – hanya selepas sebulan memilikinya, Saga berkenaan telah mencatatkan tambahan jarak perjalanan sejauh 3,200 batu (5,150 km)!

Steph turut menyatakan bahawa tangki bahan api kereta tersebut sentiasa dengan petrol E5 yang lebih mahal bagi memastikan enjinnya berada dalam keadaan ‘sihat’. Di UK, pengguna ditawarkan dengan petrol E5 (campuran 5% bahan api boleh diperbaharui Ethanol) dan E10 (campuran 10% bahan api boleh diperbaharui Ethanol) yang lebih murah, di mana kereta-kereta lama lebih sesuai menggunakan petrol E5.

Dia juga bercadang untuk membawa Proton Saga ini ke NEC Classics Car Show bulan hadapan untuk dipamerkan, sekiranya Morris Marina miliknya tidak berjaya disiapkan. Namun Steph masih ragu-ragu sama ada untuk membawa Saga tersebut atau Triumph 1300.

Proton Saga ini telah disimpan oleh sebuah keluarga dalam sebuah bangsal tanpa lampu dan juga tanpa sebarang akses cahaya masuk ke dalamnya sejak 10 tahun yang lalu. Manakala meter perbatuannya hanya mencatatkan jarak perjalanan sejauh 10,724 batu atau 17,259 km selepas dibeli baru pada tahun 1994.

Ia adalah model spesifikasi khas untuk pasaran UK, yang sedikit berbeza dari model pasaran Malaysia bagi membolehkan ia mematuhi syarat homologasi negara berkenaan. Antara perincian yang jelas berbeza adalah enjin 4G15 1.5 liter 12 injap yang dibekalkan tidak disuap oleh karburator sebaliknya menggunakan sistem suntikan bahan api elektronik, dan ia diberikan papan pemuka serta roda stereng yang seiras dengan Mitsubishi Lancer Fiore.

Proton Saga Iswara 1994 yang dijumpai dalam bangsal di UK kini dipandu dengan kerap oleh pemilik baharu

Oleh kerana tidak terdedah kepada sebarang cahaya bahagian luarannya termasuk panel-panel dan cat badan, unit-unit lampu dan sebagainya masih dalam keadaan seperti baharu dan hanya diselaputi oleh habuk dan debu, malah getah pengelap cerminnya juga masih lembut seperti baru dibeli.

Keempat-empat tayar masih belum kempis, malah pada bahagian bawah lantai juga nampak seakan baharu, serta pemilik asalnya turut telah memberikan lapisan perlindungan berwarna hitam bagi mengelakkan ia berkarat. Begitu juga pada bahagian kabin, tempat duduk, karpet lantai, pelapik bumbung serta kemasan-kemasan lain nampak masih seperti baharu.

Melihat ke bahagian ruang enjin, tiada sebarang kebocoran minyak dijumpai. Malah ketika minyak enjin diperiksa, ia dalam keadaan yang sangat bersih seolah-olah ia baru ditukar sebelum kereta tersebut disimpan dalam bangsal berkenaan.

Proton Saga Iswara 1994 yang dijumpai dalam bangsal di UK kini dipandu dengan kerap oleh pemilik baharu

Sebelum Stephanie melihat sendiri kereta tersebut, Matt Richardson dari saluran YouTube Furious Driving terlebih dahulu membantunya datang ke bangsal itu bagi mengetahui keadaan sebenar Saga berkenaan.

Ketika Stephanie datang, buat pertama kalinya dalam tempoh 10 tahun, Saga tersebut kembali terdedah kepada cahaya matahari. Ia ditolak keluar dengan mudah bukan hanya kerana tayarnya yang masih mempunyai tekanan udara, malah brek Saga tersebut juga tidak jammed walaupun sudah ditinggalkan sekian lama.

Tanpa sebarang penukaran dilakukan pada palam pencucuh serta masih menggunakan baki petrol berjumlah 3/4 tangki yang diisi lebih sedekad yang lalu, enjin Saga tersebut terus hidup dengan hanya satu putaran kunci setelah ia diberikan bateri yang lebih baharu.

Walau bagaimanapun, mengapa kereta tersebut ditinggalkan dalam garaj berkenaan begitu lama tidak langsung diberitahu. Tetapi Matt menyatakan bahawa kereta ini hampir dihantar untuk diskrap ketika keluarga berkenaan mahu membersihkan garaj tersebut. Nasib baik salah seorang daripada ahli keluarga berkenaan memberikan cadangan agar ia dijual kepada mereka yang berminat kerana keadaannya yang masih lagi elok.


Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required