Mercedes-Benz A-Class – model sedan dipilih untuk CKD kerana permintaan lebih tinggi dari hatchback

Mercedes-Benz A-Class – model sedan dipilih untuk CKD kerana permintaan lebih tinggi dari hatchback

Minggu lalu Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah pun melancarkan model paling mampu milik dalam barisan modelnya iaitu A-Class Sedan generasi terkini, dalam versi lebih mampu milik kerana telah dipasang secara tempatan (CKD) di Pekan, Pahang.

Namun selepas pelancaran berkenaan, A-Class kini dijual di bilik-bilik pameran hanya dalam versi sedan, manakala A-Class hatchback kini telah digugurkan (pembeli masih boleh menempah model hatchback tersebut, tetapi ia akan diimport dengan harga lebih mahal dari sebelum ini).

Dalam satu temu ramah bersama ketua jualan dan pemasaran MBM, Micheal Jopp selepas pelancaran A-Class Sedan CKD berkenaan minggu lalu, kami sempat bertanya kepada beliau mengapa model sedan ini dipilih untuk dipasang di sini dan bukan hatchback.

“Saya rasa agak mudah ketika kami mahu buat keputusan ini. Dengan hanya apa yang kami lihat kepada permintaan tipikal pelanggan di Malaysia, masih ada permintaan yang lebih kuat terhadap sedan,” kata Jopp.

Mercedes-Benz A-Class – model sedan dipilih untuk CKD kerana permintaan lebih tinggi dari hatchback

“Apabila sudah jelas portfolio kereta kompak akan dibuka, saya rasa ia adalah pilihan yang mudah untuk mengatakan bahawa ini menjadi yang pertama untuk dilokalisasikan kerana kami lihat potensi yang paling besar dari perspektif jangka masa panjang, dari perspektif pelanggan dan juga melihat kepada pakej yang kami ada. Ia merupakan kereta yang sangat menarik, ada ruang dalaman yang baik dan jadi, ia adalah pilihan yang mudah,” tambahnya.

Jopp turut menyatakan bahawa ketika kedua-dua A-Class sedan dan hatchback dijual dalam versi CBU, permintaan terhadap sedan adalah lebih tinggi dari hatchback selepas ia diperkenalkan. Ini membuatkan MBM mendapat kesimpulan mudah terhadap hala tuju untuk diambil selepas itu.

Selain dari sedan, A-Class juga sebenarnya mempunyai satu lagi versi bentuk badan yang diberikan but belakang iaitu CLA. Buat masa sekarang, CLA dijual dalam pasaran Malaysia hanya dalam versi prestasi penuh AMG CLA45S, dan diimport sepenuhnya. Jadi kami turut bertanya kepada Jopp adakah CLA turut akan ditawarkan dalam varian biasa, dan dipasang di di sini?

“Tidak, kerana dari perspektif kami, jika anda lihat kepada pakej, saya rasa A-Class Sedan menawarkan pakej yang lebih praktikal. Ia dilihat, boleh saya katakan, sangat sporty jika mengambil kira cabaran untuk menghasilkan sedan kecil dengan rekaan yang cantik.

“Di pasaran lain, kami pernah melokalisasikan CLA; ia dibuat di banyak tempat di dunia, tetapi ia kini sudah digantikan dengan A-Class Sedan,” jawab Jopp.

Menurut Jopp, proses lokalisasi CLA di negara lain telah dihentikan dan digantikan dengan A-Class Sedan kerana model tersebut mempunyai pakej praktikaliti yang jauh lebih baik. Buat masa sekarang, CLA generasi kedua berkenaan hanya diproduksi di kilang Mercedes-Benz Manufacturing Hungary, tetapi sebelum itu ia turut dipasang di kilang Mercedes-Bnez India dan juga di Thonburi Automotive Assembly Plant (TAAP) di Thailand.

Mercedes-Benz A-Class Sedan CKD masih ditawarkan dalam dua varian iaitu A 200 Progresive Line serta A 250 AMG Line, tetapi ia dijual pada harga lebih rendah. Bagi A 200 Progresive Line CKD, sedan ini dijual pada harga RRM210,903, Manakala A 250 AMG Line pula dijual pada harga RM239,858. Angka-angka yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran serta termasuk pengecualian cukai jualan sepenuhnya bagi model CKD yang diberikan oleh kerajaan sehingga 30 Jun 2022.

GALERI: Mercedes Benz A 200 Progresive Line CKD 2021

GALERI: Mercedes Benz A 250 AMG Line CKD 2021

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required