Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah memberikan peningkatan pada CLA 45 S 4Matic+ C118 bagi model 2021, dengan sedikit perubahan pada senarai kelengkapan dan harga. Coupe empat-pintu yang menawan ini kini ditawarkan pada harga atas jalan RM453,375 tanpa insurans, dan juga pelepasan 50% cukai jualan bagi kereta import-sepenuhnya (CBU).

Tanda harga baharu tersebut ternyata lebih tinggi sebanyak RM19,572 berbanding sebelum ini, tetapi dengan penambahan kit. Untuk ruang dalamannya, kini ia didatangkan dengan paparan utama (HUD) yang turut memaparkan informasi pemanduan. Selain itu, kelengkapan baharu yang turut diberikan ialah beg udara sisi untuk tempat duuduk belakang, sama seperti model A45S.

Selain pertambahan tersebut, ciri lain masih kekal seperti mana model yang dilancarkan pada Jun tahun lalu.

Di bawah bonetnya, CLA 45 S 4Matic+ dilengkapi dengan enjin M139 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder dengan hamburan kuasa 421 PS (416 hp) pada 6,750 rpm dan tork 500 Nm dari 5,000 hingga 5,250 rpm. Penjana kuasa ini turut dipadankan dengan transmisi dwi-klac AMG Speedshift DCT 8G lapan-kelajuan, sistem pacuan semua-roda AMG Performance 4Matic+ dan AMG Torque Control pada gandar baharu di belakang.

Bagi prestasinya, ia mampu mencapai pecutan dari 0-100 km/j dalam hanya empat saat dan berkeupayaan mencecah kelajuan maksimum hingga 270 km/j, yang turut dipasang dengan Pakej Pemandu standard.

Untuk pasaran Malaysia, CLA 45 S 4Matic+ ini turut diberikan roda aloi AMG jejari-bersilang 19-inci dan juga kit badan penuh AMG termasuk gril Panamericana yang menawan. Ia turut diberikan suspensi AMG Ride Comfort dan juga kaliper brek merah.

Di dalamnya, ia menampilkan sistem MBUX bersama kelengkapan AMG lain termasuk panel ambang pintu iluminasi, alas lantai, tempat duduk Performance (dengan tali pinggang keledar merah designo) serta roda stereng Performance balutan gentian mikro Dinamica/kulit Nappa.

Lain-lain ciri yang turut tersenarai termasuklah kawalan suhu dwi-zon Thermotronic, tempat duduk hadapan larasan elektronik dengan fungsi memori, lampu utama Multibeam LED, sistem pencahayaan ambien, kamera 360-darjah, pakej Bantuan Pemanduan, Akses Bebas-Tangan, Keyless-Go, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, servis sambungan Mercedes Me, pengecas telefon tanpa wayar dan juga sistem bunyi Burmester.

GALERI: Mercedes-AMG CLA 45S 4Matic+ C118