Anda ada lagi cukai jalan dan lesen memandu yang tertangguh untuk diperbaharui sejak Perintah Kawalan Pergerakan tempoh hari? Jika ada, anda dinasihatkan untuk tidak berlengah. Ini kerana bukan sahaja Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan bertegas sekiranya ianya tidak dilakukan selepas 31 Disember nanti, malah perkhidmatan MySikap dan juga servis di kaunter JPJ turut terdapat gangguan pada tempoh saat-saat akhir nanti.
Menurut JPJ, sistem atas talian di portal MySikap akan ditutup untuk diselenggara bermula 6 petang pada 17 Disember (Jumaat) sehingga 6 pagi 19 Disember (Ahad) 2021. Tiada sebarang perkhidmatan dapat dibuat ketika tempoh tersebut. Malah pada 18 Disember (Sabtu) JPJ turut menyatakan bahawa semua kaunter fizikal mereka di seluruh negara tidak dapat beroperasi.
Untuk pengetahuan anda, buat masa sekarang JPJ sudah pun mula membuka kaunter-kaunter terpilih pada hujung minggu bagi memastikan mereka yang belum memperbaharui cukai jalan dan lesen boleh menyelesaikan urusan tersebut sebelum 31 Disember nanti.
Sehingga pertengahan bulan lalu, JPJ menyatakan bahawa sejumlah 3.78 juta kenderaan di seluruh negara masih bergerak dengan cukai jalan yang sudah tamat tempoh. Jabatan berkenaan sudahpun memberikan kelonggaran untuk tidak terlebih dahulu memperbahrui cukai jalan dan lesen (termasuk lesen vokasionan GDL/PSV) yang tamat tempoh antara 1 Jun sehingga 31 Julai lalu, kerana ketika itu negara sedang dalam sekatan pergerakan penuh bagi mengekang penularan Covid 19 yang sedang mengganas.
Ketika itu, JPJ memberikan tempoh sehingga 30 September bagi menyelesaikan urusan tersebut, kemudian tempoh berkenaan dipanjangkan lagi oleh menteri pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong sehingga akhir tahun ini. Menteri tersebut sebelum ini turut telah turun melakukan pemeriksaan mengejut di JPJ Taman Daya, Johor Bahru dan mendapati sistem yang digunakan oleh jabatan tersebut disifatkan sebagai ‘kuno’.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.