Dalam masa beberapa tahun yang lepas, kita telah menyaksikan Mazda memfailkan beberapa paten menarik baru seperti kereta sport yang menggunakan pacuan roda belakang serta rekaan enjin rotary turbo generasi baru. Kini, satu lagi paten yang didaftarkan di Jepun dijumpai oleh laman web Hatena Blog, yang menunjukkan rekaan enjin rotary bersama sistem hibrid.
Tetapan ini memang sudah boleh dijangka kerana kereta sports yang dilihat dalam paten itu tidak mempunyai ruang enjin yang besar di hadapan dan melalui lukisan paten terbaru ini, kita boleh melihat enjin rotary tersebut mempunyai tiga rotor dan disambungkan kepada motor elektrik serta kotak gear transaxle untuk memacu dua roda belakang.
Sistem hibrid yang digunakan mungkin adalah unit hibrid ringkas 48 volt, seperti yang pernah ditunjukkan oleh Mazda pada November tahun 2020, bersama bateri lithium ion 3.5 kWh 48 volt. Bukan setakat itu, lukisan paten terbaru ini juga menampakkan terdapat lagi motor elektrik bersepadu pada setiap hab roda hadapan.
Melalui informasi yang diperoleh sebelum ini, Mazda ada menyatakan bahawa paten yang mereka daftarkan ini melibatkan kereta yang menggunakan pacuan dua roda belakang dalam kelajuan rendah, dan apabila mencecah kelajuan lebih tinggi, barulah kuasa akan disampaikan kepada roda hadapan.
Seperti yang diketahui, pendaftaran paten ini masih lagi bukan satu tanda pasti ia akan dikeluarkan untuk produksi, tetapi boleh memberikan keterujaan kerana kita tahu Mazda sedang membangunkan sesuatu yang menarik. Mungkinkah model RX-Vision bakal menjadi realiti tidak lama lagi?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.