Mazda tunjuk enjin 6-silinder pacuan belakang, 4-silinder dengan sistem hibrid Toyota untuk 2022

Mazda tunjuk enjin 6-silinder pacuan belakang, 4-silinder dengan sistem hibrid Toyota untuk 2022

Bukan lagi rahsia bahawa Mazda sedang membangunkan enjin dengan kapasiti besar, enam-silinder dan bakal digunakan untuk model pacuan roda belakang – mereka telah mengumumkan perkara ini pada 2019, dan enjin berkenaan dikesan sudah pun dipatenkan.

Ketika pembentangan prestasi kewangan syarikat baru-baru ini, Mazda sekali lagi menunjukkan perkembangan terhadap unit penjana baharu berkenaan. Kali ini, imej sebenar enjin tersebut telah pun ditunjukkan kepada umum, dan ia diumumkan bakal masuk kepasaran pada tahun 2022.

Selain dari menunjukkan enjin lengkap dan juga kepala silinder yang dibuka untuk didedahkan, Mazda turut menayangkan enjin empat silinder yang digandingkan dengan kotak gear panjang yang lazimnya untuk kenderaan pacuan belakang, serta diberikan motor elektrik untuk sistem hibrid ditengah-tengah.

Mazda tunjuk enjin 6-silinder pacuan belakang, 4-silinder dengan sistem hibrid Toyota untuk 2022

Namun, hanya sedikit perincian diberikan untuk kesemua enjin, kotak gear dan sistem hibrid yang ditunjukkan tersebut. Tetapi kita boleh jangkakan maklumat-maklumat lebih terperinci akan disiarkan secara beransur-ansur mulai berberapa bulan akan datang.

Menurut Mazda, untuk enjin enam-silinder berkenaan, ia bukan sahaja untuk kegunaan platform model pacuan belakang, malah turut boleh digandingkan dengan sistem pacuan semua roda. Enjin berkenaan bukan hanya ditawarkan dalam versi petrol biasa sahaja, malah akan hadir dalam versi diesel serta SkyActiv-X, dan boleh digandingkan dengan teknologi elektrifikasi termasuk sistem plug-in hybrid (PHEV) dan juga hibrid ringkas 48-volt.

Tiada sebarang angka kuasa kuda disebutkan, dan berdasarkan apa yang dibayangkan oleh Mazda tahun lalu, enjin ini akan digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan. Khabar yang bertiup, gandingan ini bakal digunakan untuk Mazda 6 generasi baharu iaitu versi produksi untuk model konsep Vision Coupe yang didedahkan pada 2017.

Mazda tunjuk enjin 6-silinder pacuan belakang, 4-silinder dengan sistem hibrid Toyota untuk 2022

Jika ia benar, ini akan menyaksikan Mazda 6 yang sekarang ini menampilkan konfigurasi enjin hadapan pacuan hadapan akan beralih kepada enjin hadapan pacuan belakang, dan akan bersaing terus dengan sedan premium dari Jerman seperti Mercedes-Benz C-Class dan BMW 3 Series.

Tak mustahil juga jika Mazda mahu menghasilkan model kesinambungan untuk sedan mewah pacuan roda belakang mereka sebelum ini iaitu Mazda 929. Platform baharu berkenaan bukan sahaja boleh dijelmakan sebagai sebuah sedan, malah mungkin juga Mazda akan menghasilkan SUV lebih premium menggunakan asas yang sama.

Untuk enjin empat silinder dengan motor elektrik hibrid berkenaan, ia mungkin hasil kerjasama Mazda dan Toyota yang telah diumumkan sebelum ini. Menurut Mazda, mereka sedang merancang untuk membangunkan SUV baharu yang menggunakan teknologi Toyota Hybrid System (THS), dan ia akan dihasilkan menerusi fasiliti baharu mereka di Amerika Syarikat.

Fasiliti yang dimaksudkan adalah kilang yang dioperasikan oleh Mazda Toyota Manufacturing USA (MTMUS), iaitu syarikat yang diwujudkan pada 2018. Kilang produksi kenderaan berkenaan terletak di Hunstville, Alabama dan akan mula beroperasi bermula pada tahun 2021.

Hasil dari kerjasama Mazda dan Toyota ini juga akan menyaksikan Mazda akan menghasilkan model pasaran Eropah yang dihasilkan dari Toyota Yaris, serta kedua-dua syarikat ini merancang berkongsi penghasilan keseluruhan emisi CO2 di benua tersebut. Teknologi THS turut akan digunakan Mazda di China, namun perinciannya belum diumumkan.

Selain dari enjin enam-silinder dan juga empat silinder dengan sistem elektrifikasi berkenaan, Mazda sekali lagi mengesahkan “pelbagai teknologi elektrifikasi” yang akan dipadankan pada enjin rotary.

Sebelum ini Mazda telah mengumumkan bahawa model elektrik sepenuhnya pertama mereka iaitu MX-30 turut akan diberikan pilihan dalam versi hibrid range extender dengan menggunakan enjin rotary sebagai pengecas penambah jarak. Mazda MX-30 turut diumumkan akan menerima versi yang diberikan enjin petrol dengan padanan teknologi hibrid ringkas.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required