Sedan Mazda pacuan belakang – Mazda 6 generasi baharu atau kebangkitan semula Mazda 929?

Sedan Mazda pacuan belakang – Mazda 6 generasi baharu atau kebangkitan semula Mazda 929?

Tahun lalu ketika membentangkan prestasi tahunannya, Mazda ada mengumumkan bahawa mereka kini sah sedang membangunkan platform bersaiz besar yang akan menampilkan enjin menegak kebelakang bagi memacu roda belakang. Ia bukan sekadar cakap kosong, kerana baru-baru ini jenama dari Hiroshima itu dikesan telah pun memfailkan paten untuk enjin enam-silnder sebaris, bersama kotak gear automatik lapan-kelajuan untuk kegunaan model pacuan belakang.

Kereta ini juga dikhabarkan akan menerapkan rekaan model konsep Mazda Vision Coupe, iaitu sedan besar empat pintu dengan garis badan seakan coupe, muncul ketika Tokyo Motor Show 2017. Spesifikasi model baharu ini juga dilihat sangat tinggi di mana enjin enam-silinder sebaris berkenaan akan dihasilkan dalam dua versi – petrol dengan teknologi SkyActiv-X dan diesel dengan teknologi SkyActiv-D – serta akan digandingkan dengan sistem hibrid ringkas 48-volt.

Jadi, ramai yang berpendapat model ini mungkin adalah versi produksi untuk Mazda 6 generasi seterusnya. Jika ini terjadi, Mazda mungkin akan meninggalkan satu ruang kosong dalam barisan model mereka iaitu sedan segmen-D pacuan hadapan untuk bertanding dengan Honda Accord dan Toyota Camry, kerana dengan spesifikasi yang dibayangkan ini, harga dan segmen yang perlu ditandingi adalah sedan kompak dari Eropah seperti Mercedes-Benz C-Class dan BMW 3-Series.

Sebenarnya, Mazda sebelum ini sudahpun mempunyai model sedemikian ketika Jepun menghasilkan kereta-kereta tidak masuk akal pada era 70’an hingga 90’an. Ingat lagi Mazda 929? Model ini adalah model mewah dari Mazda yang lebih besar dari Mazda 626, dan ia tidak pernah dihasilkan dalam konfigurasi lain selain enjin hadapan pacuan belakang.

Model ini diproduksi dalam tujuh generasi berbeza dari tahun 1973 hingga 2000, dan datang dalam pelbagai bentuk badan dan pelbagai nama. Di Jepun model empat pintu 929 ini dikenali sebagai Mazda Luce. Selain dari versi ini, ia turut hadir dalam versi empat pintu dengan pintu tanpa kerangka dikenali sebagai “hardtop sedan” dan juga model wagon lima-pintu.

Sedan Mazda pacuan belakang – Mazda 6 generasi baharu atau kebangkitan semula Mazda 929?

Selain dari versi standard, 929 turut dijelmakan sebagai model berprestasi tinggi dengan badan coupe dua-pintu, serta dijana oleh enjin wankel rotary! Untuk model generasi pertama, versi ini dikenali dengan nama Mazda RX-4, manakala pada badan 929 generasi berikutnya ia dikenali sebagai Mazda Cosmo.

Untuk dua generasi terakhir dari 1991 hingga tahun 2000, 929 paling mewah di Jepun dikenali dengan nama Mazda 929 Sentia (juga ada versi yang dinamakan sebagai Efini MS-9) serta versi 2-pintu coupe dikenali dengan nama Eunos Cosmo. Versi standard Sentia ini dijana oleh enjin V6 3.0 liter, manakala Eunos Cosmo pula hadir dengan dua jenis enjin rotary iaitu versi turbo dengan enjin 1.3L 13B, dan juga versi NA 3-rotor 2.0 liter 20B.

Jadi adakah model produksi Mazda Vision Coupe ini akan dijelmakan sebagai Mazda 6 generasi baharu atau kebangkitan semula Mazda 929 (mungkin diberi nama Mazda 9?)? Kedua-dua kemungkinan ini masih ada – jika Mazda meninggalkan segmen-D biasa yang sedang diisi oleh Mazda 6 sekarang, tak mustahil mereka akan kehilangan satu kelompok sasaran pasaran.

Menurut laporan Caranddriver baru-baru ini, sedan besar pacuan belakang Mazda ini akan dibekalkan dengan kuasa sekitar 350 hp, dan ia akan diperkenalkan pada tahun 2022. Jadi sama-samalah kita tunggu pengumuman rasmi dari Mazda dari masa ke masa.

GALERI: Mazda Vision Coupe Concept di Tokyo Auto Show 2017

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required