Pada tahun 2015, Mazda telah mendedahkan model konsep RX-Vision, yang dibayangkan sebagai kereta sport dengan enjin Wankel Rotary bagi menggantikan model RX-7 dan RX-8, diikuti dengan pendaftaran untuk paten enjin Wankel Rotary yang digelar sebagai SkyActiv-R setahun selepas itu.

Namun tahun demi tahun, Mazda menafikan mereka akan menghasilkan versi produksi kereta tersebut dengan mengatakan mereka kekurangan dana bagi meneruskan projek berkenaan. Tapi, kini sekali lagi jenama dari Hiroshima berkenaan dilihat mengorak langkah bagi merealisasikan model itu – Mazda dikesan mempatenkan space frame bahagian hadapan sebuah kerangka kereta dengan ruang enjin yang begitu kecil, dengan tajuk rekaan “vehicle shock absorption structure”.

Kerangka tersebut menampilkan sistem suspensi hadapan yang biasanya digunakan pada model-model berprestasi tinggi iaitu dari jenis double wishbone, dan konfigurasi yang sama juga sebenarnya telah digunakan pada RX-7 dan RX-8. Apa yang menguatkan dakwaan ini adalah kerangka kereta sport Wankel Rotary seterusnya dari Mazda adalah kerana ruang enjinnya yang begitu kecil dan enjin berkenaan dilihat akan diletakkan hampir ke bahagian firewall, manakala di hadapan diberikan beam yang agak jauh dari kerangka, direka bagi menyerap hentakan ketika kemalangan.

Mengapa? Bagi mereka yang belum mengetahui, enjin Wankel Rotary Mazda sememangnya direka dengan saiz yang begitu kompak. Dengan rotor yang berputar bagi menggantikan omboh yang turut naik pada enjin konvensional untuk menggerakkan eccentric shaft (atau crankshaft pada enjin biasa) dan flywheel, ia hanya memerlukan kapasiti yang kecil bagi menghasilkan kuasa yang besar.

RX-7 misalnya, model generasi pertama Savanna SA22 1978 hanya memerlukan kapasiti 1.2 liter dari enjin 12A tanpa turbo bagi menghasilkan 100 hp, manakala versi terakhir RX-7 FD3S 2002 dijana oleh enjin 13B, hanya memerlukan kapasiti 1.3L dan pengecas turbo untuk mengerah 280 hp dalam keadaan standard.

Selain dari dapat menjimatkan ruang serta mengurangkan berat, enjin yang kecil tersebut boleh ‘ditolak’ lebih ke belakang bagi membolehkan nisbah berat antara hadapan dan belakang RX-7 dan RX-8 dihasilkan sempurna pada kadar 50:50.

Berbalik kepada rekaan yang baharu sahaja dipatenkan tersebut, adalah mustahil untuk meletakkan enjin omboh konvensional pada ruang berkenaan walaupun dalam bentuk empat-silinder sebaris. Juga tidak kelihatan sebarang mekanisma untuk memacu roda hadapan, dan ia sah kerangka untuk kereta pacuan belakang. Turut boleh dilihat, pada bahagian bawah kerangka tersebut terdapat sub-frame untuk menampung enjin.

Perincian dalam fail paten ini turut menyebut bahawa kerangka ini dihasilkan dengan gabungan material ringan iaitu aluminium dan juga plastik diperkukuh gentian karbon (CFRP).

Menurut portal dari Jepun, webmotormagazine yang mendedahkan fail paten berkenaan, ada sumber dari Mazda sendiri turut memberitahu bahawa model kereta sport Wankel Rotary yang akan digelar “RX-9” tersebut akan dihasilkan dari platform sendiri tanpa berkongsi dengan mana-mana model, dan enjin Wankel Rotary generasi baharu tersebut disasarkan akan menghasilkan sekitar 400 hp.

Apa pun, perkara ini masih kekal sebagai khabar angin memandangkan tiada lagi unit prototaip dilihat diuji, dan tiada apa-apa kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Mazda setakat ini. Disember tahun lalu, CEO Mazda Akira Marumoto sendiri memberitahu bahawa penghasilan model generasi baharu kereta sport dua pintu dengan enjin Wankel Rotary ini masih lagi belum diputuskan sama ada akan diteruskan atau tidak.

“RX Vision merupakan satu model visi untuk pembangunan rekaan jadi kami tidak bercadang untuk menghasilkan versi produksi atau komersial untuk model ini. Saya menerima soalan [sama ada kami akan membuat kereta sport dengan enjin rotary] mungkin sudah 100 kali, dan saya tidak akan meneruskannya. Ia merupakan impian untuk semua eksekutif dan pekerja Mazda dan ia adalah tanggungjawab saya untuk menjadikan impian mereka satu kenyataan,” katanya sambil berseloroh.

Mazda telah mengesahkan sebelum ini bahawa mereka akan membawa semula enjin rotary ke pasaran tidak lama lagi, tetapi bukan sebagai enjin yang menjana sebuah kereta sport, sebaliknya digunakan sebagai enjin penambah jarak (range extender) pada model hibird elektrik. Enjin tersebut akan bertindak seperti sebuah ‘generator pasar malam’ bagi mengecas bateri sistem hibrid, manakala roda akan dipacu sepenuhnya oleh hanya motor elektrik.

GALERI: Model konsep Mazda RX Vision