Mad Mike akan hasilkan Mazda 3 dengan enjin rotary empat rotor, 1200 hp untuk ke perlumbaan Pikes Peak

Mad Mike akan hasilkan Mazda 3 dengan enjin rotary empat rotor, 1200 hp untuk ke perlumbaan Pikes Peak

Mazda pernah dilihat mempatenkan rekaan enjin wankel rotary dengan pengecas turbo generasi baharu. Malah baru-baru ini jenama dari Hiroshima berkenaan dikesan memfailkan paten sebuah kereta sport pacuan belakang yang dijana enjin ikonik tanpa omboh berkenaan, dengan bantuan sistem hibrid.

Namun dalam dunia sebenar, memang agak mustahil untuk Mazda hasilkan semula kereta sport dengan enjin wankel rotary bagi menggantikan legasi kereta sport RX mereka selepas produksi RX-8 ditamatkan pada 2012. Ini kerana untuk menghasilkan sebuah enjin rotary yang mematuhi undang-undang pencemaran bukannya mudah, lagi-lagi dengan penetapan regulasi baharu yang begitu ketat di Eropah.

Jadi drifter yang terkenal dengan pelbagai binaan kereta drift Mazda yang dijana oleh enjin wankel rotary dari New Zealand, ‘Mad Mike’ Whiddett, menunggu untuk Mazda menghasilkan sebuah jentara baharu yang dijana enjin rotary adalah seperti menunggu bulan jatuh ke riba. Oleh itu beliau sendiri akan membangunkan sebuah Mazda generasi terkini yang disumbat oleh enjin wankel rotary.

Seperti yang anda boleh lihat pada illustrasi di atas, ini dia Mazda 3 hatchback yang bakal disumbat enjin rotary! Illustrasi ini disiarkan sendiri oleh Mad Mike di laman Instagram miliknya. Menurut beliau jentera ini akan tampil diperlumbaan ‘panjat bukit’ terulung yang diadakan di Amerika Syarikat iaitu Pikes Peak International Hill Climb (PPIHC) sempena edisi ke-100 yang akan dilangsungkan tahun ini.

Seperti jentera-jentera drift Mad Mike yang lain, Mazda 3 Hatchback ini akan menerima enjin rotary dengan empat buah rotor, disasarkan akan menjana sekitar 1,200 hp. Mad Mike turut menyatakan bahawa keempat-empat pintu Mazda 3 berkenaan akan kekal boleh dibuka, serta diberikan empat tempat duduk termasuk dua kerusi di kabin belakang.

Dari iilustrasi tersebut dapat dilihat bahawa Mazda 3 berkenaan diberi kit badan lebar Pandem Rocket Bunny dari Tra Kyoto, bersama sayap GT bersaiz gergasi di bahagian belakang. Ia juga direndahkan serapat yang mungkin dengan permukaan jalan, dipadankan bersama set rim yang lebar.

Empat muncung ekzos dan empat unit rotor pada enjin kelihatan keluar dari penutup hud hadapan. Dan seperti biasa, jentera baharu Mad Mike ini turut diberikan livery perlumbaan dengan grafik penaja utamanya, Red Bull.

“Race to Clouds” PPIHC tahun ini akan dilangsungkan pada 26 Jun 2022. Ia merupakan perlumbaan paling lama pernah diadakan di Amerika Syarikat, dengan bermula pada tahun 1916. Pelumba perlu mendaki jalan bukit sejauh 20 km untuk menuju ke puncak tertinggi pada bahagian selatan pergunungan Rocky di Colorado dengan mencatatkan masa terpantas untuk memenangi perlumbaan.

Setiap tahun PPIHC akan menarik ramai pelumba dan kereta lumba dari seluruh dunia, yang datang dari pelbagai latar belakang disiplin perlumbaan. Kesemua pelumba dan kereta mereka perlu menghabiskan 156-selekoh bermula pada ketinggian 9,390 kaki sehingga puncak Pikes Peak dengan ketinggian 14,115 kaki.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required