Ford Bronco Raptor 2022 diperkenal dengan enjin V6 EcoBoost 3.0 liter twin turbo, peningkatan ciri offroad

Ford Bronco Raptor 2022 diperkenal dengan enjin V6 EcoBoost 3.0 liter twin turbo, peningkatan ciri offroad

Ini adalah Ford Bronco Raptor, sebuah model yang diangkat sebagai Bronco street-legal paling berkuasa dan mendapat banyak peningkatan untuk memuaskan penggemar offroad hardcore dan akan mula dijual tahun ini.

Di bawah bonetnya terdapat enjin EcoBoost petrol V6 3.0 liter twin turbo yang dikatakan boleh menghasilkan kuasa sekurang-kurangnya 400 hp. Ford masih belum mendedahkan jumlah kuasa sebenar, tetapi enjin sama yang digunakan pada Explorer ST menghasilkan 400 hp dan 563 Nm tork.

Apapun, enjin 3.0 liter ini memberikan peningkatan besar berbanding enjin V6 2.7 liter twin turbo berkuasa 310 hp dan 542 Nm yang digunakan pada varian di bawahnya. Ford juga memberitahu bahawa enjin yang lebih besar ini mendapat manfaat daripada talaan khas untuk Raptor dan mempunyai sistem penyejukan udara dan intercooler yang dipertingkat dan dibuat khas untuk bertahan dengan suhu di padang pasir.

Turut dipasang adalah sistem ekzos berkembar dengan injap aktif serta panjang paip sama pada kedua-dua belah bagi meningkatkan bunyinya. Pemandu boleh menikmati bunyi ekzos ini dalam empat mod iaitu Normal, Sport, Quiet dan Baja.

Dari enjin, ia disambung kepada transmisi 10 kelajuan dengan pedal penukar magnesium serta sistem pacuan empat roda yang mempunyai tiga mod dan klac kapasiti tinggi. Transfer case turut menerima peningkatan, dengan kini mempunyai nisbah rendah 3.06 4×4 LO sehingga 67.7:1 untuk merangkak atas batu.

Sistem ini disambungkan kepada G.O.A.T. (Goes Over Any Type of Terrain) Terrain Management System yang mempunyai pilihan tujuh mod. Paling unik adalah mod Baja yang mengaktifkan kalibrasi anti-lag turbo, boleh digunakan untuk memecut di atas pasir, sementara mod lain adalah seperti Tow/Haul, Trail Control, Trail Turn Assist dan Trail One-Pedal Driving.

Fokus yang diberikan kepada prestasi offroad juga menyaksikan pelbagai peningkatan bahagian suspensi, yang mendapat inspirasi daripada siri perlumbaan hardcore Ultra4. Antaranya adalah seperti gandar yang sama seperti kereta lumba Bronco DR Racing SUV, dengan di hadapan adalah unit Dana 50 Heavy-Duty AdvanTEK semi-float dengan ring gear 235 mm, sementara pemacu Dana 44 AdvanTEK dipertingkat dengan half-shaft yang mempunyai ring gear 210 mm.

Suspensi menggunakan perkakas daripada Ford, iaitu sistem High-Performance Off-Road Stability Suspension (HOSS) dengan Live Valve technology. Sama seperti F-150 Raptor, sistem ini terdiri daripada penyerap separa aktif Fox 3.1 dengan reservoir bersepadu di hadapan, dan reservoir berasingan untuk belakang. Suspensi ini bergantung kepada sensor untuk mengetahui keadaan jalan dan melarasnya mengikut keadaan yang sesuai.

Ford Bronco Raptor 2022 diperkenal dengan enjin V6 EcoBoost 3.0 liter twin turbo, peningkatan ciri offroad

Semua komponen ini dipasang pada kerangka besi berkekuatan tinggi dengan tapak penyerap baru dan lengan kawalan khas untuk memberikan jarak gerak suspensi 330 mm di hadapan (+60%) dan 356 mm (+40%) di belakang. Tinggi kenderaan sendiri meningkat sebanyak 122 mm berbanding Bronco asas empat pintu, menjadi 333 mm. B-pillar dan C-pillar yang diperkuat menjadikan ketahanan kilasannya bertambah 50%, dan ia ditambah lagi dengan plet besi di bawah kenderaan sebagai perlindungan.

Perubahan lain pada bahagian badan adalah lengkuk roda yang lebih lebar 249 mm berbanding Bronco biasa, dan ia memang diperlukan untuk memuatkan rim beadlock 17 inci dan tayar all-terrain BFGoodrich KO2 37 inci – Ford mendakwa ia adalah tayar paling besar pernah dipasang untuk SUV produksi di Amerika. Tayar yang besar ini juga memerlukan peningkatan pada sistem stereng kuasa elektrik kenderaan.

Selain kedudukan yang tinggi serta lengkuk roda yang lebih lebar, anda juga boleh mengenali Bronco Raptor ini melalui bahagian badan lain yang berbeza berbanding Bronco biasa, seperti fender, hiasan pada pintu, bonet serta gril dengan tulisan Ford yang besar.

Lampu utama LED dengan DRL warna kuning dan lampu penanda bersepadu warna kuning juga adalah antara peningkatan yang diberi, bersama lampu kabus LED dan lampu offroad daripada Rigid. Bampar besi hadapan daripada Ford Performance juga mempunyai cangkuk serta bahagian yang boleh dicabut untuk memberi lebih kelegaan.

Untuk menjadikan penampilannya lebih ranggi, Ford menyediakan Graphics Package yang memberikan pelekat khas pada bahagian tepi kenderaan dan bonet. Pilihan warna juga ada banyak, termasuk Hot Pepper Red Metallic, Velocity Blue Metallic, Eruption Green Metallic, Shadow Black, Iconic Silver Metallic, Area 51, Cactus Gray, Cyber Orange Metallic Tri-Coat, Oxford White, serta Code Orange khas Ford Performance.

Bahagian kabin yang sama seperti Bronco biasa masih digunakan, dengan panel instrumen digital 12 inci yang mempunyai paparan khas Raptor, roda stereng lebih tebal, tempat duduk sport daripada Ford Performance, kemasan khas serta pilihan balutan tempat duduk vinyl atau suede. High Package disediakan diberi secara standard, dan ia termasuk skrin sesentuh untuk sistem infotainmen 12 inci, sementara Lux Package pula memberikan Adaptive Cruise Control dan sistem bunyi 10 pembesar suara B&O.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required