Nissan Leaf telah diberikan peningkatan bagi model tahun 2022 di Eropah, dengan mendapat sedikit perubahan pada bahagian luarannya. Hatchback elektrik ini akan mula dijual di benua itu April ini dan terus ditawarkan dalam dua versi.
Pilihan pertama adalah model asas dengan bateri 40 kWh dan motor elektrik di hadapan, menghasilkan 150 PS (148 hp) dan 320 Nm tork, sementara varian yang lebih tinggi adalah e+ yang mendapat bateri 62 kWh dan berkemampuan 217 PS (214 hp) dan 340 Nm tork – tidak berubah seperti sebelum ini.
Perubahan yang diberi untuk kali ini hanya pada bahagian luar, bermula dengan logo baru Nissan pada gril, rim dan pintu but. Pelanggan juga kini disediakan dengan pelbagai pilihan rim untuk Leaf 2022, dari saiz 16 inci hingga 17 inci, termasuklah rekaan seperti di dalam gambar.
Pilihan warna badan juga ada banyak, termasuk tambahan lima warna satu tona dan lima warna dua tona. Menurut Nissan, dua warna baru, iaitu Pearl Blue dan Magnetic Blue diambil daripada Qashqai dan Ariya kerana warna itu telah terbukti popular di kalangan pelanggan.
Selain daripada itu, semua bahagian Leaf ini masih lagi sama seperti sebelum ini, termasuk kemasan di dalam – kecuali logo. Sistem infotainmen NissanConnect masih lagi digunakan, bersama skrin sesentuh, sambungan Android Auto dan Apple CarPlay serta pakej ProPILOT yang memberikan pelbagai sistem bantuan (semi autonomous) dan keselamatan .
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.