Toyota telah beberapa kali menyiarkan teaser bagi hot-hatch baharunya, iaitu GR Corolla untuk pasaran Amerika Syarikat, tetapi sehingga kini persoalan bila ia akan dilancarkan masih belum terjawab. Namun menerusi laporan The Drive, GR Corolla akan mula dijual di AS pada Oktober tahun ini, berdasarkan video yang disiarkan oleh saluran YouTube Driven District.
Namun video berkenaan kini sudah tidak lagi ditonton oleh orang awam, tetapi ia sempat ditangkap layar. Ia menunjukkan dokumen dalaman dari pengedar Toyota yang mengandungi maklumat berkenaan pelancaran produk baharu dan juga acara yang bakal dilangsungkan tahun ini, dengan tertera “GR Corolla mula dijual” dijadualkan pada bulan Oktober.
Apa yang menarik lagi, dokumen tersebut turut mendedahkan bahawa Toyota hanya mensasarkan jualan GR Corolla tersebut hanya sebanyak 90 unit di New York tahun ini. Mungkin kerana ia dihasilkan dalam jumlah terhad, dan turut mengambil kira ia dilancarkan hampir di penghujung tahun.
Walaupun dokumen ini nampak menyakinkan, segala perincian sebenar masih perlu ditunggu dari kenyataan rasmi dari Toyota sendiri. Sebelum ini Toyota telah mengesahkan bahawa GR Corolla akan dilancarkan di AS, sebagai ganti kepada jentera rali produksi jalan raya GR Yaris yang tidak dijual di sana.
Menerusi teaser yang disiarkan oleh Toyota USA sebelum ini, model berkenaan dibayangkan akan diasaskan dari Corolla Hatchback dengan platform TNGA-C, dan menerima sistem mekanikal yang sama seperti GR Yaris seperti enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga-silinder turbo berkuasa 272 PS, kotak gear manual enam-kelajuan dan juga sistem pacuan semua roda GR-Four.
Masih tidak dapat dipastikan sama ada GR Corolla ini hanya akan dijual di Amerika Syarikat atau ia turut akan menjadi model global dan dijual pada pasaran lain. Namun Toyota dilihat sudahpun mendaftarkan tanda dagang “GR Corolla” di Australia tahun lalu.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.