Toyota GR Corolla 2022 – teaser sudah keluar!

Toyota GR Corolla 2022 – <em>teaser</em> sudah keluar!

Toyota sudah lama menyebut berkenaan versi prestasi tinggi untuk Corolla generasi baharu, di mana idea berkenaan telah disebut pada 2018. Malah pada Februari 2019, hampir setahun sebelum GR Yaris didedahkan secara rasmi, penolong ketua pereka Toyota, Toshio Kanei telah menyebut berkenaan enjin 1.6L Turbo yang mahu disumbatkan ke dalam Corolla tersebut, ketika semua orang belum tahu sedikit pun berkenaan GR Yaris yang turut akan dijana enjin yang sama – Toyota dah lama rancang, kita je yang lalai.

Dan kini, Toyota secara rasmi telah mendedahkan teaser pertama GR Corolla yang mengesahkan kewujudannya, sekali lagi dalam bentuk teka-teki teori konspirasi! Sekali tengok, gambar papan pemuka Corolla Hatchback biasa dengan kapsyen “Biar mereka terus berteka-teki…” yang disiarkan di akaun instagram rasmi Toyota USA berkenaan mungkin nampak macam hantaran biasa.

Namun jika anda perhatikan betul-betul, banyak petunjuk-petunjuk berkenaan GR Corolla pada gambar tersebut. Pertama, perhatian jam digital pada panel meter kereta berkenaan. Ia tidak menunjukkan waktu, tetapi memaparkan “G:16”. Untuk pengetahuan anda, ini adalah kod enjin 1.6 liter tiga-silinder Turbo yang digunakan pada GR Yaris, atau kod penuhnya G16E-GTS.

Kemudian, perhatikan pula pada skrin navigasi – ada tertulis “GR-Four” pada sebatang jalan yang dipaparkan berkenaan. Rasanya semua tahu bahawa GR-Four adalah merujuk sistem pacuan semua roda yang dibekalkan pada GR Yaris, diberikan LSD pada gandar hadapan dan belakang, dan hadir dengan tiga mod tetapan iaitu Normal (agihan tork 60% roda hadapan dan 40% roda belakang), Sport (30:70) dan Track (50:50).

Selepas itu anda perhatikan pula angka 2 68 yang dipaparkan pada kawalan pendingin hawa di bawah skrin infotainmen tersebut. Angka tersebut tidak syak lagi merupakan angka kuasa kuda 268 hp (272 PS) yang dihasilkan oleh enjin 1.6L Turbo pada GR Yaris pasaran Jepun (hanya 261 PS untuk pasaran Eropah dan pasaran lain termasuk Malaysia).

Imej bayangan digital Toyota GR Corolla oleh Theophilus Chin

Akhir sekali, anda tengok pula pada cermin sebelah kanan kereta berkenaan. Ini adalah petanda paling jelas – kelihatan sebuah Corolla hatchback yang dibalut dengan pelekat penyamaran merah-hitam-putih Gazoo Racing seperti unit-unit prototaip GR Supra dan GR Yaris sebelum ini. Namun gambar tersebut terlalu kecil dan perincian-perincian lain tidak dapat dilihat langsung.

Toyota GR Corolla ini dikhabarkan akan membuat kemunculan sulungnya di Amerika Syarikat tahun hadapan – ia sebagai gantian kepada GR Yaris yang tidak dibawa ke pasaran tersebut. Malah sebelum keluarnya imej teaser ini, Toyota USA pernah menghantar ciapan “Sementara GR Yaris tidak akan dilancarkan di Amerika Syarikat…mungkin AS akan menerima hot-hatchnya sendiri.” Penuh teori konspirasi betul Toyota USA ni kan?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required