Toyota dijangka bangunkan semula Corolla berprestasi tinggi di bawah jenama Gazoo Racing

Toyota dijangka bangunkan semula Corolla berprestasi tinggi di bawah jenama Gazoo Racing

Sejak generasi pertama Toyota Corolla, jenama yang sering dikaitkan dengan ‘kereta keluarga’ berkenaan sememangnya telah mempunyai varian lebih sportynya sendiri bermula dengan Sprinter KE15 pada tahun 1968, dan yang terakhir pasangan kembar Levin/Sprinter Trueno AE111 pada tahun 2000.

Selepas daripada itu, imej ‘orang muda’ dari Corolla jauh tertinggal dari Civic kerana lawannya dari Honda itu terus diperkenalkan dengan versi Type R sehingga kini, manakala Corolla hanya dibangunkan sebagai kereta keluarga semata-mata bermula dari generasi kesembilan (E120).

Namun menerusi laporan terbaharu dari portal Motoring ini mungkin akan menggembirakan peminat fanatik Corolla, kerana naib presiden jualan dan pemasaran Toyota Australia, Sean Hanley menyatakan kemungkinan besar Corolla Hatchback/Auris generasi baharu bakal menjadi asas kepada projek hot-hatch Toyota Gazoo Racing.

Toyota dijangka bangunkan semula Corolla berprestasi tinggi di bawah jenama Gazoo Racing

Perkara tersebut terdedah apabila portal berkenaan bertanya kepada Hanley adakah Corolla berprestasi tinggi akan menjadi produk yang berjaya di Australia? Jawab orang besar Toyota berkenaan “Semestinya saya akan lakukan.”

Corolla berkuasa tinggi berkenaan dijangka bakal membuat kemunculannya pada tahun 2020. “Saya mahu lihatnya secepat yang mungkin,” kata Hanley, “tetapi dalam masa tiga tahun ini saya tidak menolak sebarang kemungkinan sesuatu yang akan hadir di bawah jenama Gazoo Racing (GR). Kami teruja terhadap GR dan kemungkinan yang akan dibawa dalam aspek penawaran produk pada masa akan datang,” tambahnya.

Hanley menegaskan bahawa persoalan lebih tertumpu pada ‘bila’, dan bukannya ‘jika’ Gazoo Racing atau jenama di bawah GR akan mendarat di Australia. Beliau juga menyatakan bahawa pasaran hot-hatch di Australia sangat kompetitif. Namun, beliau turut berkata “kami lihat pada masa akan datang – tidak mustahil bahawa kami akan menerima Corolla yang sangat baik atau kereta jenis lain, dan jika peluang tersebut muncul menerusi pembangunan Gazoo Racing kami akan menghulurkan tangan kami.”

Toyota dijangka bangunkan semula Corolla berprestasi tinggi di bawah jenama Gazoo Racing

“Kami dalam peringkat awal untuk melancarkan jenama Gazoo Racing ke Australia dan kami telah mula melakukannya menerusi kerjasama dengan Harry Bates dan ARC [Kejuaraan Rali Australia]. Kami akan meneruskan pelancaran menerusi jenama pada WRC [Kejuaraan Rali Dunia] kemudian pada tahun ini,” tambah Hanley.

Buat masa ini, Gazoo Racing telah menghasilkan hot-hatch Yaris GRMN (Gazoo Racing Master of Nürburgring) yang dilihat meneruskan legasi Toyota Starlet Turbo satu ketika dahulu. Model tersebut dijual di pasaran Jepun dan Eropah, dijana enjin petrol 1.8 liter supercharged berkuasa 210 PS dan hanya dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan. Walau bagaimanapun, Yaris GRMN tidak dirancang untuk dibawa ke Australia.

Menurut Motoring lagi, Toyota Corolla GR berkenaan dijangka dibina disasarkan untuk pasaran Australia, kerana Corolla bersaing dalam segmen yang lebih bervolum tinggi dan mempunyai peluang jualan yang lebih luas.

Toyota Corolla hatchback generasi baharu berkenaan dibina berasaskan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang mempunyai ketegaran torsi 60% lebih baik. Ia juga mempunyai pusat graviti lebih rendah yang semestinya memudahkan Gazoo Racing membuat pengubahsuaian tertumpu pada aspek prestasi tinggi.

Dalam versi standard, Corolla generasi ke-12 versi hatchback tersebut hanya ditawarkan dengan enjin petrol NA empat silinder M20A-FKS 2.0 liter Dynamic Force. Enjin berkenaan ditawarkan dengan pilihan kotak gear automatik Direct-Shift CVT yang lebih responsif dari sebelum ini atau manual enam-kelajuan yang lengkap dengan fungsi rev-match.

Jika benar Corolla ini dihasilkan kelak, tak dapat beli pun kita bakal terhibur dengan pertarungan klasik sambungan dari Levin/Trueno BZ-R AE111 Vs. Civic EK9 Type R, dan melihat bagaimana Toyota terjun ke kancah persaingan hot-hatch global yang kini disertai oleh Honda Civic Type R FK8, Volkswagen Golf GTI, Hyundai i30 N dan juga Renault Megane RS.

GALERI: Toyota Corolla Hatchback generasi baharu pasaran Amerika Syarikat

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required