Renault Megane RS generasi baharu diperkenalkan – 280 hp/390 Nm, transmisi 6-kelajuan manual atau EDC

Renault Megane RS generasi baharu diperkenalkan – 280 hp/390 Nm, transmisi 6-kelajuan manual atau EDC

Lebih tiga tahun lalu, Renault Megane RS merupakan kereta pacuan roda hadapan produksi paling pantas di litar Nürburgring. Tetapi selepas itu nama Megane jatuh sedikit demi sedikit setelah pertarungan kelas berkenaan tertumpu kepada Volkswagen Golf Clubsport S dan juga Honda Civic Type R FK2, dan kini gelaran ‘King of the Ring’ tersebut dipegang oleh Civic Type R FK8.

Pada Frankfurt Motor Show tahun ini, Renault telah memperkenalkan generasi baharu Megane RS yang dijangka bakal menggoyahkan kembali kedudukan Civic-R. Seperti yang dijangka, model baharu ini dijana dengan enjin yang lebih bertenaga dan juga pelbagai teknologi yang lebih tinggi.

Namun apa yang mengejutkan, Renault Megane RS generasi keempat ini dijana enjin dengan kapasiti lebih kecil dari sebelum ini iaitu 1.8 liter berbanding 2.0 liter pada model sebelumnya. Enjin empat silinder 1.8 liter turbo dengan suntikan bahan api terus berkenaan mampu menghasilkan 280 hp dan tork maksima 390 Nm, atau 5 hp dan 30 Nm lebih berkuasa dari enjin 2.0 liter turbo sebelum ini.

Pendedahan Megane RS ini juga mengesahkan ia masih mengekalkan konfigurasi pacuan roda hadapan, dan bukan pacuan semua roda seperti khabar angin yang bertiup sebelum ini. Tidak seperti Clio RS baharu yang menerima kritikan kerana hanya diberikan transmisi EDC automatik, kuasa dari enjin Megane RS ini dialirkan ke roda menerusi dua pilihan kotak gear iaitu sama ada enam-kelajuan manual atau enam kelajuan klac berkembar automatik EDC bersama pedal penukar gear.

Renault Megane RS generasi baharu diperkenalkan – 280 hp/390 Nm, transmisi 6-kelajuan manual atau EDC

Pengendalian model generasi baharu ini turut dibantu dengan sistem four-wheel steering digelar 4Control yang diperkenalkan buat pertama kali pada model Megane GT sebelum ini. Seperti generasi-generasi sebelumnya juga, Megane RS diberi dua pilihan talaan suspensi – sama ada suspensi Sport standard, dan juga yang lebih hardcore dan lebih sesuai untuk litar iaitu casis Cup.

Kedua-dua jenis talaan tersebut menerima unit bump stop jenis mampatan hidraulik seperti yang digunakan pada jentera rali di keempat-empat sudut. Sistem berkenaan mampu memberikan pengendalian dan juga keselesaan yang lebih baik, bergantung mod pemanduan yang dipilih.

Suspensi hadapan model generasi baharu ini telah dirombak sepenuhnya dengan pemadanan paksi stereng jenis bebas bagi meningkatkan ketepatan pengendaliannya. Bagi casis Cup pula, ia turut menerima LSD jenis Torsen. Lima mod pemanduan diberikan untuk dipilih pemandu untuk disesuaikan dengan situasi iaitu Comfort, Normal, Sport, Race dan Perso (talaan pengkhususan oleh pemandu).

Pada bahagian luaran, Megane RS generasi baharu ini turut menampilkan rupa yang lebih agresif. Muka hot-hatch ini direka dengan liang kemasukan udara pada bampar yang lebih besar bersama mesh sarang lebah tiga dimensi, dan menempatkan turut lampu nyalaan siang LED RS Vision (seakan corak bendera perlumbaan).

Renault Megane RS generasi baharu diperkenalkan – 280 hp/390 Nm, transmisi 6-kelajuan manual atau EDC

Keempat-empat ruang roda kereta ini direka lebih lebar dari model standard dan aerodinamiknya turut dibantu oleh spoiler belakang bersama diffuser udara pada bampar belakang yang turut menempatkan tip ekzos besar pada bahagian tengah. Bagi melengkapkan rupanya, dua pilihan rim aloi diberi – sama ada berdiameter 18-inci atau 19-inci.

Ruang dalaman masih lagi kekal direka ringkas. Ia menerima tempat duduk sport yang dibalut dengan pilihan fabrik atau Alcantara kemasan charcoal grey dan diakhiri dengan serlahan jahitan benang merah. Upholsteri yang sama turut diterapkan pada roda stereng dan juga tombol gear.

Angka 280 hp ini kedengaran sangat kurang untuk bertempur dengan Civic Type R bukan? Tunggu dulu, model yang didedahkan ini sebenarnya hanya varian asas. Versi Trophy yang jauh lebih liar bakal diperkenalkan tahun hadapan, dibekalkan dengan kuasa 300 hp.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required