Toyota daftarkan tanda dagangan “GR Corolla” di Australia – pencabar Civic Type R bakal muncul?

Toyota daftarkan tanda dagangan “GR Corolla” di Australia – pencabar Civic Type R bakal muncul?

Pelbagai desas-desus kedengaran bahawa Toyota bakal memperkenalkan versi berprestasi tinggi dalam badan Corolla generasi baharu sebelum ini, namun sebarang langkah konkrit masih lagi belum kelihatan. Tetapi berita terbaharu ini mungkin adalah petanda awal bahawa model berkenaan memang benar akan muncul tidak lama lagi – Toyota dilihat sudah pun mendaftarkan tanda dagangan “GR Corolla” di Australia!

Perkara ini disedari oleh portal automotif negara berkenaan, CarAdvice dan Toyota nampaknya turut mendaftarkan dua lagi tanda dagangan untuk dua versi C-HR lebih sporty iaitu C-HR GR-Sport dan C-HR GR-S di pejabat Harta Intelek Australia tersebut.

Dengan akronim GR (Gazoo Racing) yang diletakkan di hadapan seperti GR Supra dan GR Yaris, ini bermaksud Corolla tersebut adalah model prestasi yang serius, bukan seperti Corolla GR Sport yang telah diperkenalkan sebelum ini.

Toyota daftarkan tanda dagangan “GR Corolla” di Australia – pencabar Civic Type R bakal muncul?

Walau bagaimanapun, Toyota Australia menyatakan bahawa pendaftaran tanda dagangan tersebut bukan bermakna model itu sah akan dipasarkan di negara berkenaan. “Kami tiada apa-apa pengumuman hari ini berkenaan pengenalan ‘GR Corolla’, ‘C-HR GR-Sport’ dan ‘C-HR GR-S’, tetapi kami tidak menolak kemungkinan bahawa kesemuanya akan sampai ke Australia,” kata jurucakap Toyota kepada CarAdvice.

Namun ada petunjuk model tersebut kini mungkin dalam pembangunan kerana jurucakap berkenaan turut menyatakan bahawa “sebagai amalan biasa perniagaan kami, kami akan mendaftarkan nama tanda dagangan yang sama dibuat oleh Toyota di Jepun bagi memastikan nama tersebut dapat kami digunakan di sini.”

Tahun lalu, penolong ketua pereka Toyota, Toshio Kanei ada menyatakan bahawa mereka telah membuat perancangan awal untuk menggunakan enjin 1.6 liter turbo terhadap Corolla berprestasi tinggi tersebut. Dan pada Februari ini, laporan AutoExpress menyatakan GR Corolla berkenaan memang akan diberikan enjin 1.6 liter, atau lebih spesifik enjin yang sama digunakan pada GR Yaris, bersama kotak gear manual enam-kelajuan.

Toyota daftarkan tanda dagangan “GR Corolla” di Australia – pencabar Civic Type R bakal muncul?

Dalam perut GR Yaris yang membuat kemunculan sulungnya di Jepun awal tahun ini, enjin 1.6 liter tiga-silinder berkenaan berupaya menjana 272 PS dan tork 370 Nm, didakwa sebagai enjin produksi tiga-silinder paling berkuasa buat masa sekarang.

Sementara itu di Amerika Syarikat, pasaran berkenaan berkemungkinan besar akan menerima GR Corolla ini memandangkan GR Yaris tidak akan dijual di sana. Ini kerana, Yaris asas untuk pasaran tersebut adalah model rebadge dari Mazda 2 dan bukan Yaris yang sama seperti di Jepun dan Eropah.

Dalam laporan Caranddriver, naib presiden eksekutif untuk jualan Toyota America, Bob Carter berkata kepada wartawan pada Februari lalu, pihaknya sudahpun mempunyai “jawapan” terhadap GR Yaris untuk pasaran Amerika Utara. Tiada nama spesifik disebutkan, tetapi portal tersebut optimis ia adalah Corolla dengan enjin GR Yaris kerana model asasnya kini sudah pun dijual di sana.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required