Baru setahun diperkenalkan secara rasmi, Toyota telahpun mengumumkan versi tingkat taraf untuk kereta sport flagship mereka iaitu GR Supra A90. Dikenali dengan versi 2021, model yang dikemaskini dengan peingkatan kuasa yang agak besar dan talaan semula pada casis ini telah disahkan akan masuk ke pasaran Amerika Syarikat. Bukan iu sahaja, versi ini turut akan ditawarkan dengan pilihan enjin 2.0 liter empat-silinder dan model edisi terhad.
Untuk versi yang paling berkuasa, ia masih kekal dijana oleh enjin petrol turbo BMW B58 3.0 liter enam-silinder sebaris. Namun ia telah menerima talaan semula bagi menghasilkan 382 hp dan tork maksima 499 Nm, atau 47 hp lebih berkuasa dari versi asal.
Bagi mengekstrak 14% kuasa lebih banyak ini, enjin tersebut telah diolah semula pada berberapa bahagian dan bukan sekadar talaan semula pada kotak komputer enjin. Toyota telah menggantikan set omboh asal dengan unit rekaan baharu yang mampu merendahkan nisbah mampatan dalam kebuk pembakaran dari 11:1 kepada 10.2:1, bagi meningkat boost dari pengecas turbo. Kemudian, manifold ekzos juga ditelah direka semula untuk melengkapkan sentuhan semula ini.
Enjin tersebut masih dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik dari ZF, dan Toyota menjangkakan pecutan 0-60 bsj (96 km/h) akan dapat dicapai hanya dalam masa 3.9 saat, berbanding 4.1 saat pada versi sedia ada.
Model dengan enjin lebih berkuasa ini turut menerima talaan lebih baik pada casis. Ia kini diberikan pendakap aluminium hadapan baharu bagi meningkatkan ketegaran sisi, serta penyerap hentak yang ditala semula dan diberikan bump stop yang mendapat rekaan lebih baik.
Sistem stereng berkuasa elektrik, sistem suspensi adaptif, kawalan kestabilan elektronik dan LSD aktif pada gandar belakang turut diprogramkan semula bagi dipadankan dengan sistem mekanikal yang mendapat komponen baharu, membolehkan Supra 2021 lebih stabil ketika berubah arah dalam kelajuan tinggi.
Selain itu, GR Supra 2021 ini turut menerima kelengkapan lebih baik seperti sistem bunyi JBL dengan 12-pembesar suara, skrin utama 8.8-inci bagi menggantikan skrin 6.5-inci sebelum ini, Apple Carplay dengan fungsi tanpa wayar, dan servis hubungan dan kecemasan kawalan jauh.
Bagi model 2.0 liter empat-slinder turbo pula, ia akan dijana oleh enjin BMW B48 yang sama dengan versi pasaran Jepun, menghasilkan 255 hp bermula 5,000 hingga 6,500 rpm dan tork maksima 400 Nm yang dapat dicapai seawal 1,550 hingga 4,400 rpm.
Versi ini turut dipadankan dengan kotak gear auto lapan-kelajuan ZF yang sama, membolehkan model yang 90 kg lebih ringan tersebut memecut dari 0 hingga 96 km/j dalam masa 5.0 saat dan mencatatkan penggunaan bahan api lebih rendah.
Selain dari enjin yang lebih kecil, pengurangan berat berkenaan turut dicapai menerusi set brek yang lebih kecil, tiada lagi penggunaan sistem differential dan suspensi aktif, tempat duduk manual, serta hanya 4-pembesar suara.
Untuk kelengkapan keselamatan, GR Supra baharu ini menerima pakej Keselamatan dan Teknologi dengan sistem yang lebih banyak. Ia termasuk sistem cruise control adaptif yang berfungsi dalam semua kelajuan, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang dan juga penderia parkir dengan brek kecemasan automatik,
Istimewa untuk model 2021 pasaran Amerika ini juga, ia akan diperkenalkan dalam versi edisi terhad A91, yang dihasilkan hanya 1,000 unit. Model ini hadir hanya dalam dua pilihan warna iaitu Nocturnal (hitam) dan Refraction (biru).
Berbanding model biasa, versi A91 Edition ini akan menerima penutup cermin sisi gentian karbon, spoiler lip pada but belakang, jalur pelekat badan pada tiang-C dan juga rim dalam kemasan hitam matte, bersama angkup brek hadapan berwarna merah dengan tulisan “Supra” (juga hadir pada model 3.0L Premium).
Dalam kabin , GR Supra A91 Edition diberikan upholsteri Alcantara hitam dan karpet but khas, serta unit kunci yang diberikan bekas kulit istimewa.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.