Pengedar rasmi jenama Hyundai di Malaysia iaitu Hyundai Sime Darby Motors (HSDM) kini secara rasmi mengesahkan bahawa kereta elektrik penuh (EV) Ioniq 5 akan dilancarkan pada pasaran tempatan tidak lama lagi, dan mereka yang berminat kini sudah pun boleh membuat tempahan.
Ini bermakna Hyundai bakal mempunyai dua model EV yang dijual di bilik pameran di Malaysia selepas ini, dengan Kona Electric telah pun dilancarkan di sini pada bulan November tahun lalu.
“Kona Elektrik yang telah diperkenalkan tahun lalu telah mencatatkan kejayaan dengan kumpulan pertama model tersebut telah pun habis dijual. Kami jangka permintaan terhadap Ioniq 5 ini akan melangkaui permintaan untuk Kona Electric. Disebabkan kenderaan elektrik jenama Hyundai diterima baik di sini, kami telah membariskan lebih banyak model elektrik untuk pelanggan kami yang bijak menilai,” kata Pengarah Urusan untuk pengedaran dan peruncitan Sime Darby Motors Malaysia, Jeffrey Gan.
Beliau turut menambah bahawa Hyundai bakal menerajui pasaran segmen kereta elektrik di Malaysia kerana lebih banyak model-model EV dari jenama Korea berkenaan akan diperkenalkan dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Ioniq 5 merupakan kereta elektrik yang diasaskan platform Electric-Global Modular Platform (E-GMP) Hyundai Motor Group. Tidak seperti Kona yang asalnya dihasilkan untuk model dengan enjin pembakaran dalaman, platform E-GMP yang direka seakan papan luncur ini adalah khas dibangunkan untuk kereta-kereta elektrik. Bagi yang belum tahu, nama ‘Ioniq’ itu sendiri kini adalah sub-jenama Hyundai hanya untuk EV, yang selepas ini akan tampil dengan model sedan dan SUV.
Model yang diumumkan pada Februari 2021 ini adalah versi produksi untuk model konsep Hyundai 45 Concept yang muncul di Frankfurt pada 2019, diinspirasi dari model konsep rekaan Giorgetto Giugiaro iaitu Hyundai Pony Coupe Concept 1974.
Seperti yang dilaporkan semalam, Ioniq 5 pasaran Malaysia kelak akan tampil dalam dua versi bateri iaitu 58 kWj dan 72.6 kWj. Bagi model dengan bateri paling kecil 58 kWj, ia akan dibekalkan dengan sebuah motor elektrik berkuasa 215 hp/350 Nm pada gandar belakang, untuk memacu roda belakang.
Manakala untuk varian dengan bateri lebih besar 72.6 kWj, ia akan dibekalkan dengan satu lagi motor pada gandar hadapan, menjadikannya sebuah model pacuan semua roda dengan kuasa keseluruhan 302 hp/605 Nm. Ini membolehkan model paling berkuasa tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.2 saat, serta jarak gerak 430 km untuk satu cas penuh berdasarkan kitaran ujian WLTP.
Walau bagaimanapun, kedua-dua model ini ditetapkan bagi mencapai kelajuan maksima 185 km/j. Untuk pasaran global lain, Ioniq 5 turut ada ditawarkan dengan bateri 72.6 kWj, tetapi hanya memacu roda belakang yang boleh mencapai jarak gerak sejauh 470 hingga 480 km dengan sekali cas.
Apa yang unik pada Ioniq 5 ini berbanding EV lain, ia mampu untuk menyokong sistem 400 V dan 800 V melalui lonjakkan yang diberi pada motor elektrik dan unit inverter, tanpa memerlukan pengecas bina dalam berasingan. Dengan pengecas pantas 350 kW DC, pengguna boleh mengecas dari 10 hingga 80% dalam masa 18 minit sahaja. Sistem ini turut membolehkan ia menerima jarak gerak tambahan 100 km (mengikut kitaran WLTP) dengan tempoh mengecas hanya lima minit.
Walau bagaimanapun, kita di Malaysia masih belum mempunyai fasiliti mengecas yang benar-benar pantas. Buat masa sekarang fasiliti pengecas pantas DC yang kita ada seperti di rangkaian Shell Recharge adalah 180 kW. Menurut Hyundai, pada kadar 50 kW, bateri 72.6 kWh Ioniq 5 boleh dicas bagi sehingga tahap 80% penuh dalam masa 62 minit. Jadi dengan kadar 180 kW, ia tentu lebih pantas.
Dengan pengecas AC on-board pula, bateri tersebut boleh boleh dipenuhkan dalam tempoh enam jam dan enam minit. Sama seperti model EV Hyundai yang lain, Ioniq 5 dilengkapi port CCS2 untuk sistem ini. Kereta ini juga diberikan soket kenderaan-kepada-beban (vehicle-to-load atau V2L) yang diletakkan di bawah tempat duduk belakang. Soket ini membolehkan Ioniq menjadi sebuah power bank gergasi untuk mengecas basikal atau skuter elektrik, atau memberikan kuasa elektrik kepada kelengkapan-kelengkapan perkhemahan.
Dari segi saiz pula, Ioniq 5 ini dihasilkan dengan ukuran 4,635 mm panjang, 1,890 mm lebar, 1,605 mm tinggi serta jarak roda sejauh 3,000 mm – dalam gambar ia mungkin nampak seperti sebuah hatchback kompak, tetapi hakikatnya ia adalah 430 mm lebih panjang dan 90 mm lebih lebar dari Kona, bersama jarak roda yang lebih jauh berbanding Toyota Camry (2,825 mm) dan Mercedes-Benz E-Class (2,939 mm). Untuk pengetahuan anda, rim yang anda lihat bersaiz seakan 18-inci pada Ioniq 5 ini sebenarnya berdiameter 20-inci.
Buat masa sekarang, HSDM masih belum memperincikan varian-varian Ioniq 5 pasaran Malaysia, namun kami difahamkan ia akan ditawarkan dalam tiga varian, dengan nama Lite, Plus dan Max sama seperti varian yag ditawarkan pada Kona Electric.
HSDM juga masih belum memberikan sebarang petunjuk berkenaan harga, tetapi jika berminat untuk membuat tempahan untuk Ioniq 5 ini, anda perlu membuat bayaran deposit berjumlah RM1,000.
Jadi agak-agak berapa harga jualan untuk Ioniq 5 ini di Malaysia kelak? Di Australia, Ioniq 5 yang habis dijual dalam masa hanya dua jam ini boleh dibeli dengan harga A$75,900 (sekitar RM229k) untuk varian tertinggi 72.6 kWj AWD. Kami jangkakan ia tentu jauh lebih mahal dari Kona Electric yang dijual pada harga bermula RM150k (39.2 kWh) hingga RM200k (64 kWh).
Jadi tanpa dikenakan sebarang cukai dan duti untuk kereta elektrik CBU seperti yang diumumkan kerajaan sebelum ini, kami rasa Hyundai Ioniq 5 mungkin akan dijual pada harga RM200k hingga RM250k. Pelancaran model ini mungkin akan dibuat pada bulan ini juga. Namun anda perlu ingat, walaupun anda orang pertama yang membuat tempahan, mustahil untuk anda menjadi orang pertama memiliki Ioniq 5 di Malaysia, kerana Sultan Johor dah ada kereta ini dalam garaj baginda!
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.