Australia adalah salah sebuah negara yang akan menerima kereta elektrik pertama Hyundai iaitu Ioniq 5, tetapi dalam jumlah yang terhad. Sebelum ini dilaporkan pasaran berkenaan akan menerima 400 unit Ioniq 5 secara keseluruhan, namun untuk stok awalan yang berjumlah 240 unit sudah pun habis dijual dalam masa hanya dua jam, lapor Car Expert.

Untuk pasaran Australia, Hyundai Ioniq 5 ditawarkan dalam dua varian – versi motor tunggal pacuan roda belakang 218 PS dan juga versi dua motor pacuan semua roda berkuasa 306 PS, di mana kedua-duanya dibekalkan dengan pek bateri lithium ion berkapasiti 7.6 kWj.

Bagi model pacuan belakang, ia dijual pada harga AUD$71,900 (RM219,532). Manakala model paling berkuasa pacuan semua roda pula ia ditawarkan pada harga AUD$75,900 (RM231,746). Menurut Hyundai, 70 pelanggan dari 240 orang yang membuat tempahan berkenaan sudahpun membuat bayaran deposit.

Baki 160 unit bagi melengkapkan jumlah keseluruhan 400 unit Ioniq 5 bagi pasaran Australia ini akan tiba mungkin pada awal 2022 selepas keadaan mula stabil, kerana Hyundai turut terjejas dengan masalah bekalan cip semikonduktor. Tempahan untuk baki unit yang telah ditetapkan berkenaan hanya akan dibuka selepas produksi bagi unit pasaran Australia berjalan semula untuk memastikan masa penghantaran kepada pelanggan tidak terlalu lama.

Hyundai Ioniq 5 dihasilkan dengan senibina elektrikal yang mampu menampung 400- dan 800-volt, membolehkan baterinya dicaj semula dari 10% sehingga 80% penuh dalam masa hanya 18 minit menggunakan caj pantas DC 350 kW. Ini bermaksud bagi mendapatkan jarak perjalanan 100 km (WLTP), pengguna hanya perlu mengecajnya selama lima minit.

Model pacuan semua roda mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.2 saat, manakala versi pacuan roda belakang bersama bateri 72.6 kWj pula mampu untuk bergerak antara 470 km hingga 480 km (dalam kitaran WLTP) dengan satu caj penuh.