Toyota Vios 2022 – iklan baru, rupa sama, tiada facelift

Toyota Vios 2022 – iklan baru, rupa sama, tiada <em>facelift</em>

Awal minggu ini UMW Toyota Motor (UMWT) menyiarkan video bertajuk “Vios – Irresistible As Ever Teaser”. Dengan tajuk yang jelas tertulis teaser, ramai yang menjangka (termasuk kami) Vios bakal diberikan satu lagi kemaskini, paling kurang dengan rupa bampar hadapan dan belakang yang sama seperti model pasaran Thailand yang dilancarkan tahun lalu.

Namun apabila iklan penuh berkenaan disiarkan, nampaknya tiada sebarang perubahan diberikan pada model 2022 ini, dan rupanya masih sama seperti model sedia ada yang dilancarkan pada hujung 2020.

Teaser yang dimaksudkan tempoh hari hanyalah teaser untuk iklan baharu tersebut semata-mata. Apa pun, agak menarik juga iklan baharu ini kerana ia adalah lanjutan dari iklan Vios generasi pertama yang disiarkan di Malaysia pada tahun 2005, bertajuk “Bait”.

Iklan asal berkenaan memaparkan seekor raksasa misteri di dalam tasik, yang menggunakan mock-up Vios untuk mengumpan manusia. Manakala untuk iklan baharu ini, raksasa tersebut masih menggunakan taktik yang sama untuk mengumpan manusia, cuma kali ini Vios lama berkenaan digantikan dengan Vios terkini dalam warna Nebula Blue Metallic yang telah pun diperkenalkan pada Disember tahun lalu.

Semua varian Toyota Vios pasaran Malaysia dijana oleh enjin 2NR-FE 1.5 liter empat-silinder Dual VVT-i berkuasa 107 PS dan tork maksima 140 Nm. Ia digandingkan bersama kotak gear CVT automatik dimana model biasa datang dengan tujuh-kelajuan maya, manakala Vios GR Sport diberikan 10-kelajuan maya.

Iklan ini menampilkan Vios dalam varian tertinggi G (tidak termasuk varian paling sporty Vios GR Sport), yang diberikan kelengkapan seperti rim aloi 16-inci, lampu hadapan LED, skrin sesentuh infotainmen 7.0-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, cermin pandang belakang elektrokromik, penghawa dingin automatik serta sistem kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin.

Untuk keselamatan, kesemua varian Vios dilengkapi dengan tujuh-beg udara dan juga sistem kawalan kestabilan elektronik. Bermula dengan varian pertengahan E, Vios menerima sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense yang menampilkan fungsi seperti Sistem Pra-pelanggaran (PCS) yang terdiri dari brek kecemasan automatik (AEB) dan Amaran Keluar Lorong (LDA), pemantau titik buta (BSM) dan Amaran Lintasan Trafik Belakang.

Dua varian tertinggi Vios juga diberikan kamera perakam digital (dashcam) hadapan secara standard. Toyota Vios 2022 dijual pada harga bermula RM74,623 untuk varian asas J, diikuti Vios E yang dijual pada harga RM82,593. Untuk Vios G pula dia jual pada harga RM87,584, manakala Vios GR Sport dijual pada harga RM95,284.

Harga-harga yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran, dan sebagai model pemasangan tempatan ia juga sudah siap sekali dengan pengecualian cukai jualan 10% sehingga 30 Jun 2022. Vios juga masih diberikan perlindungan waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan.

GALERI: Toyota Vios 1.5G 2021

GALERI: Toyota Vios GR Sport 2021

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required