Subaru WRX STi tiada untuk generasi kali ini kerana emisi yang semakin ketat, hayat produksi pendek

Subaru WRX STi tiada untuk generasi kali ini kerana emisi yang semakin ketat, hayat produksi pendek

Ramai yang menjangkakan bahawa Subaru WRX STI generasi baharu akan didedahkan tahun ini. Bukan sahaja kerana kemunculan model konsep Viziv Performance di Tokyo Auto Salon pada 2018, dan laporan-laporan yang memetik Subaru sendiri menyatakan bahawa STI generasi baharu berkenaan bakal dijana oleh enjin baharu dengan mengambil enjin Mercedes-AMG A45 sebagai kayu ukur, malah model asasnya iaitu Subaru WRX 2022 sudahpun didedahkan tahun lalu.

Tiba-tiba, muncul satu surat rasmi dari Subaru America lewat minggu lalu menyatakan bahawa Subaru WRX STI dengan platform baharu tersebut tidak dihasilkan dalam bentuk produksi. Ini bukan menandakan bahawa WRX STI akan ‘dibunuh’ terus seperti apa yang terjadi kepada Mitsubishi Lancer Evolution, tetapi ia akan ‘direhatkan’ untuk generasi kali ini, dan bakal muncul semula untuk model generasi seterusnya, bersama teknologi elektrifikasi.

Kenapa Subaru mengambil langkah yang dilihat begitu drastik begini? Perkara ini diterangkan oleh pengarah komunikasi korporat Subaru America Dominick Infante kepada portal Raod & Track. “Jika kami reka (STI baru) sekarang, ia hanya akan mempunyai jangka hayat produksi yang pendek. Undang-undang sekarang sedang berubah dengan cepat dan ini yang membuatkan ia tidak masuk akal,” katanya. Undang-undang tersebut tentu sekali adalah yang berkaitan dengan emisi.

Subaru WRX STi tiada untuk generasi kali ini kerana emisi yang semakin ketat, hayat produksi pendek

Menerusi surat yang tular minggu lalu, Subaru menyatakan bahawa mereka kini sedang “meneroka peluang untuk Subaru WRX STI generasi seterusnya, termasuk elektrifikasi” dan menegaskan “WRX STI generasi seterusnya dengan enjin pembakaran dalaman tidak akan di hasilkan berasaskan platform WRX generasi baharu”.

“Subaru kini sedang fokus terhadap bagaimana kereta-kereta sports dan prestasi kami boleh berevolusi bagi membolehkan ia memenuhi keperluan pasaran yang berubah serta undang-undang dan keperluan untuk gas-gas rumah hijau (GHG), kenderaan emisi sifar (ZEV) dan Ekonomi Bahan Api Purata Korporat (CAFE),” kata Subaru.

Jenama tersebut turut menjelaskan bahawa mereka tidak akan berhenti untuk menghasilkan kereta-kereta prestasi mahupun menutup jenama STI. “Kami masih mempunyai penampilan yang kuat dengan WRX serba baharu dan juga BRZ yang baru sahaja dilancarkan. Jenama STI mewakili zenit kepada kenderaan prestasi Subaru memberikan contoh DNA unik dan warisan sejarah rali Subaru. Sambil kami melihat masa depan, kami juga berharap untuk menerapkan intipati STI ke dalam kenderaan kami untuk generasi akan datang,” kata Subaru lagi.

Subaru WRX STi tiada untuk generasi kali ini kerana emisi yang semakin ketat, hayat produksi pendek

Kesimpulan yang boleh dibuat disini, Subaru bimbang sekiranya banyak pelaburan dibuat untuk WRX STI, model berkenaan mungkin tidak boleh dijual dalam tempoh yang lama kerana undang-undang emisi buat masa sekarang semakin hari semakin ketat. Jadi mereka hanya akan menghasilkan WRX STI untuk model generasi selepas ini, dan ia terus akan menerima sistem elektrifikasi – mungkin hibrid, mungkin plug-in hybrid dan mungkin ia adalah kereta sport elektrik sepenuhnya (EV).

Jadi buat masa sekarang, sekiranya anda mahukan sedan sport dengan enjin petrol tanpa ‘gangguan’ dari sistem elektrifikasi, WRX ‘biasa’ adalah pilihannya. Model berkenaan kini menggunakan enjin FA24F 2.4 liter empat silinder menghasilkan 271 hp/350 Nm, berbanding hanya 2.0 liter pada model generasi sebelumnya. Sudah tentu ia lebih berpotensi untuk diubah suai bukan?

Hujung tahun lalu, pengedar Subaru di Malaysia iaitu TC Subaru sudah pun mengesahkan bahawa WRX 2022 ini bakal tiba di pasaran tempatan tahun ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required