Acara PACE 2022 anjuran paultan.org masih lagi berlangsung di Setia City Convention Centre (SCCC) dan anda masih ada masa untuk mengunjunginya. Salah satu jenama besar yang turut serta adalah Volkswagen, dengan membawa pelbagai model terkini mereka.
Paling baru sudah tentu adalah Tiguan Allspace facelift, yang dilancarkan semalam di tapak acara. SUV tujuh tempat duduk yang mendapat naik taraf ini menerima muka hadapan hampir seperti Golf Mk8, butang kawalan jenis sesentuh di bahagian dalam serta senarai kelengkapan yang dipertingkat.
Dijual pada harga bermula RM175,346, varian asas Elegance dipacu oleh enjin 1.4 liter TSI (turbo) berkuasa 150 PS/250 Nm, dan dipadankan bersama transmisi klac berkembar DSG enam kelajuan serta sistem pacuan roda hadapan, membolehkan ia mencatat penggunaan bahan api sekiar 7.3 l/100 km.
Varian R-Line 4Motion berharga RM220,527 pula bukan sekadar menerima penampilan yang lebih agresif, tetapi juga peningkatan prestasi hasil daripada enjin 2.0 liter berkuasa 220 PS dan 350 Nm tork – dihantar kepada semua roda melalui transmisi DSG tujuh kelajuan dan boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 6.8 saat.
Turut dibawa adalah Golf Mk8 CKD, yang ditawarkan dalam versi GTI serta akan datang, R-Line. Kedua-duanya menerima penampilan serba sporty, tempat duduk selesa serta bahagian dalam penuh teknologi dengan banyak butang jenis sesentuh. Enjin 1.4 liter yang digunakan pada varian R-Line adalah sama seperti Allspace, tetapi ia dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan Aisin.
Varian GTI yang dijual pada harga RM212,711 pula mendapat enjin 2.0 liter yang lebih berkuasa, mampu menghasilkan 245 PS dan 370 Nm tork untuk disampaikan kepada dua roda hadapan melalui kotak gear DSG tujuh kelajuan. Varian ini boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 6.8 saat dan mencecah kelajuan maksimum 250 km/j.
Walaupun dengan catatan itu, Arteon R-Line 4Motion adalah lebih berkuasa, mampu menghasilkan 280 PS dan 370 Nm kepada semua roda – pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 5.6 saat. Facelift yang diberikan kepada model ini menjadikan rupanya lebih menarik, dengan jalur lampu penuh, lampu belakang baru serta butang kawalan jenis sesentuh di dalam. Harga jualannya adalah RM258,019.
Model lain yang ada di kawasan pameran Volkswagen adalah Passat baru, yang kini mendapat logo Volkswagen baru serta butang kawalan jenis sesentuh seperti model-model terkini yang lain. Kedua-dua varian Elegance yang dijual pada harga RM183,680 dan R-Line berharga RM212,939 dipacu oleh enjin 2.0 liter TSI dengan kuasa masing-masing 190 PS/320 Nm dan 220 PS/350 Nm – bersama padanan transmisi DSG tujuh kelajuan dan sistem pacuan dua roda hadapan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.