Peta rasmi MRT3 didedahkan — 50.8 km, 31 stesen dan hubungkan enam landasan tren sedia ada

Peta rasmi MRT3 didedahkan — 50.8 km, 31 stesen dan hubungkan enam landasan tren sedia ada

MRT Corp telah mendedahkan peta rasmi bagi Kitaran Jajaran MRT3, yang telah diluluskan oleh kerajaan dan akan memulakan operasi secara berperingkat seawal Disember 2028. Fasa terakhir bagi rangkaian landasan di Lembah Klang itu akan beroperasi sepenuhnya pada 2030. Dengan peta ini, kesan terhadap laluan jajaran yang terlibat boleh dilihat dengan jelas, termasuk sambungannya dengan jajaran tren yang lain.

Kebanyakan maklumat yang sudah diketahui setakat ini adalah daripada April 2021, ketika MRT Corp memaklumkan bahawa semuanya akan melibatkan 30 stesen bagi kitaran jajaran berkenaan. Peta rasmi menunjukkan terdapat 31 stesen termasuk hab utama di Titiwangsa, tetapi tidak termasuk dua stesen pinggiran yang turut disenaraikan (Salak Jaya dan Bukit Kiara).

Bermula dari Titiwangsa di KL dan menuju arah Setapak, stesen yang terlibat termasuklah Kampung Puah, Jalan Langkawi, Danau Kota, Setapak, Rejang, Setiawangsa, AU2, Taman Hillview, Tasik Ampang, Kampung Pandan, Pandan Indah dan Taman Kencana. Jalur dengan stesen lain termasuklah di sekitar Cheras, melibatkan Taman Cheras (a.k.a. Yulek), Taman Midah, Jalan Yaacob Latif dan Sri Permaisuri.

Laluan kemudiannya menuju ke Salak Selatan, Salak Jaya, Kuchai dan Jalan Klang Lama. Ia kemudiannya masuk ke kawasan Lembah Pantai, melibatkan stesen Pantai Dalam, Pantai Permai, Universiti dan UM. Laluan terakhir pula melibatkan Bukit Kiara South, Bukit Kiara, Sri Hartamas dan Mont Kiara sebelum menuju ke Bukit Segambut, Taman Sri Sinar (berdekatan Kepong), Dutamas dan Jalan Kuching sebeluk kembali semula ke Titiwangsa.

Peta rasmi MRT3 didedahkan — 50.8 km, 31 stesen dan hubungkan enam landasan tren sedia ada

Jajaran tren ketika ini menghubungkan kawasan pinggir bandar dengan pusat bandar, tetapi MRT3 akan membuat kitaran untuk menghubungkan semuanya, menghubungkan juga stesen/tempat yang berdekatan. Stesen pertukaran termasuk Setiawangsa (dengan jajaran LRT Kelana Jaya), Pandan Indah (dengan jajaran LRT Ampang), Taman Midah (dengan jajaran MRT Kajang), Salak Selatan (dengan LRT Sri Petaling) dan Kuchai (denga jajaran MRT Putrajaya akan datang).

Stesen pertukaran lain termasuk Pantai Dalam (dengan KTM Tanjung Malim – Pel. Klang), Universiti (dengan jajaran LRT Kelana Jaya), Bukit Kiara Selatan (dengan jajaran MRT Kajang, antara stesen Phileo Damansara dan Pusat Bandar Damansara) dan Jalan Kuching (dengan KTM Tanjung Malim – Pel. Klang). Di hab Titiwangsa, MRT3 dihubungkan dengan KL Monorail, jajaran LRT Ampang, jajaran LRT Sri Petaling dan jajaran MRT Putrajaya akan datang.

Kitaran Jajaran MRT3 melibatkan jarak 50.8 km panjang, dengan 10.7 km daripadanya akan melibatkan laluan bawah tanah. Berdasarkan peta rasmi ini , seksyen laluan bawah tanah adalah dari Rejang ke Setiawangsa, Universiti ke Bukit Kiara Selatan (stesen UM di bawah tanah) dan dari Sri Hartamas hingga berdekatan stesen Jalan Kuching. Hampir semua jajaran ini (39 km) berada di KL manakala bakinya di Selangor.

Minggu lalu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memaklumkan parlimen bahawa lima pakej utama bagi projek Kitaran Jajaran MRT3 ini akan dibuka tender tahun ini dan dijangka disiapkan dalam tempoh enam hingga lapan tahun. Apa pun, MRT3 nampaknya bakal hadir sebagai pelengkap kepada sistem pengankutan awam terbaik untuk Lembah Klang.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required