Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan kerajaan telah pun bersetuju untuk melaksanakan projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) selepas keputusan ini tertangguh sejak tahun 2018.

“Kerajaan telah mengambil keputusan untuk meluluskan pelaksanaan projek MRT 3 yang akan melengkapkan infrastruktur pengangkutan awam sedia ada di Lembah Klang dengan menyediakan perkhidmatan bersepadu, mampu bayar dan lancar untuk Keluarga Malaysia,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

Juga dikenali sebagai MRT Circle Line, sistem keretapi berkenaan beroperasi secara automatik tanpa pengendali berperanan sebagai laluan penghubung kepada laluan MRT lain yang ada di Lembah Klang. Awalnya dijangka siap pada tahun 2025, laluan sepanjang 40 km itu akan meliputi kawasan Bandar Malaysia, Ampang, KL Eco City, Bukit Kiara dan Sentul.

Sebelum ini, projek berkenaan terpaksa ditangguh memandangkan ia melibatkan kos pembinaan yang sangat tinggi iaitu mencecah RM50 bilion dan keputusan yang dibuat pada tahun 2018 itu juga atas faktor bebanan hutang negara yang meruncing.

Walau bagaimana pun, keputusan kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri untuk meneruskan projek terbabit masih belum diperincikan, termasuk soal kos pembinaan dan juga mungkin terdapat perubahan rancangan lain untuk mengurangkan kosnya.