Awal bulan ini, Proton secara rasminya mengumumkan syarikat itu telah melaksanakan keperluan mandatori yang mana semua pengedar diwajibkan untuk menyimpan bekalan stok tiga bulan bagi 22 alat ganti utama.
Langkah ini bertujuan untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan alat ganti bagi servis berjadual dan baik pulih kemalangan yang telah menyebabkan segelintir pelanggan tidak berpuas hati.

Tempoh untuk syarikat itu memperbetulkan masalah berkenaan kini sudah didedahkan. Ketika wawancara dengan paultan.org minggu lalu, Timbalan CEO Proton, Roslan Abdullah berkata yang syarikat itu telah mempunyai rancangan untuk memastikan masalah kekurangan alat ganti ini dapat diselesaikan.

Kesan kepada perancangan ini akan dapat dilihat beberapa bulan ke depan, dengan Proton mensasarkan untuk mempunyai stok mencukupi bagi alat ganti utama menjelang hujung Jun nanti. “Apa yang kami maksudkan dengan stok mencukupi adalah stok tiga bulan di pengedar, stok tiga bulan di gudang kami dan stok beberapa bulan di vendor,” jelas Roslan.

Ini diharap akan dapat menyelesaikan masalah alat ganti yang dihadapi oleh syarikat ini sejak sebelum ini lagi, yang mana ada laporan mendakwa kenderaan pelanggan hanya tersadai di pusat servis rasmi sementara menunggu alat ganti sampai, atau hanya diservis sebahagiannya dan memasang alat ganti yang ada dahulu sebelum pelanggan di minta kembali untuk menukar yang lainnya kemudian.

Bagi alat ganti yang diperlukan untuk baik pulih kemalangan, Roslan memaklumkan itu juga akan mengikut tempoh masa yang sama. “Bagi alat ganti baik pulih, kami menjangkakan tempoh tiga bulan dari sekarang untuk stoknya ada dalam simpanan. Kami sedang mengenal pasti apa alat ganti utama bagi tujuan itu dan mengenal pasti vendor yang boleh menghasilkannya,” tambah beliau.