PANDU UJI: Toyota Harrier 2.0 Luxury 2022 — kuasa berkurang, tapi banyak kelebihan lain lebih penting

PANDU UJI: Toyota Harrier 2.0 Luxury 2022 — kuasa berkurang, tapi banyak kelebihan lain lebih penting

Toyota Harrier sentiasa menjadi semacam “peringatan” dan “jambatan” kepada pengeluar kenderaan dari Jepun ini sejak dulu. Harrier selalu menjadi cerminan penawaran yang lebih premium bagi Toyota, meninggalkan agak jauh model-model lain keluarannya yang lain dari segi kualiti buatan dan kelengkapan. Padahal, Lexus sudah ada sebagai sayap jenama premium dengan barisan kenderaan dan penawaran untuk tujuan itu.

Jadi, mengapa perlu ada Harrier? Sedangkan Lexus RX juga boleh mengisi kekosongan yang sama — seperti yang pernah dilihat dalam dua generasi awal Harrier, yang meminjam banyak dari SUV Lexus terbabit. Satu perkara yang mungkin menjelaskan perkara ini adalah kerana Toyota ingin sentiasa mengingatkan pasaran bahawa walaupun jenama itu menjual begitu banyak kenderaan pasaran massa di seluruh dunia, ia tetap tidak mahu tertinggal menunjukkan kemampuan dalam menghasilkan kenderaan premium, seperti juga Toyota selalu ingin diingati melalui model-model prestasinya yang kembali rancak dikeluarkan beberapa tahun kebelakangan ini.

Untuk itu, bagi segmen SUV, Harrier generasi keempat ini yang mula diperkenalkan di peringkat global pada tahun 2020, menjadi buktinya. Sekali pandang, serba-serbi yang ditampilkan oleh model ini tampak menyerlah, sama sekali lari jauh daripada imej Lexus RX yang ada ketika ini — ia telah lama berubah menjadi dirinya yang tersendiri. Harrier generasi terbaru ini juga dirasakan datang dengan penampilan yang paling matang dan elegan.

PANDU UJI: Toyota Harrier 2.0 Luxury 2022 — kuasa berkurang, tapi banyak kelebihan lain lebih penting

Dari garis dan lekuk pada badannya saja — tidak kira depan, sisi atau belakang — jelas menunjukkan penerapan selera moden dengan sentuhan tirus dan halus ada di merata tempat membangunkan imej terbarunya ini. Sebagai contoh, lihat rekaan tajam dan tirus lampu utama LED sepenuhnya yang ada. Ini menyumbang juga kepada wajah depan yang garang untuk SUV ini; dari garisan atas hud, perincian gril tertutup, bukaan udara di bahagian separuh ke bawah bampar serta bukaan di sudut sisi menyuntik rupa agresif terhadapnya.

Siluet keseluruhannya dari tepi juga sangat menarik. Ia tidak lagi menerapkan rekaan berpetak dan bumbung tinggi semata. Bermula dengan bahagian muka depan yang agak panjang, rekaan ruang kabinnya juga bermula “lembut” dengan garis bumbung yang kembali landai di bahagian belakang (-30 mm lebih rendah), menjadikan cermin belakangnya hadir dalam saiz agak kecil. Garis dan lekuk bahu yang ada juga memberikan semacam imej sedikit berotot kepada penampilan sisi yang jika tidak, akan menjadi begitu ringkas sahaja.

Bahagian belakang juga kemas, sekali lagi tanpa ada terlalu banyak rekaan yang akan mengingatkan kita kepada model Toyota yang lain. Rekaan lampunya yang melintang dengan kelebaran penuh biasanya selalu dapat dilihat pada model Porsche misalnya. Namun, lampu isyaratnya tidak terletak di unit lampu utama ini melainkan di bahagian bawah bampar — yang tampil minimal dan ringkas sebenarnya, melainkan lekuk-lekuk yang ada bersekali — bersama lampu undur dan reflektor.

Jika dari luar sahaja Harrier sudah menampakkan sisi elegan, tunggu sehingga anda masuk ke dalam; bahagian ini menunjukkan yang SUV ini benar-benar sebuah penawaran premium dan mewah yang tidak ingin diperkecilkan oleh hal-hal yang tidak sepatutnya. Rekaan dan sentuhan yang diberikan untuk ruang kabinnya jugalah yang tambah membezakan Harrier daripada model Toyota yang lain. Sentuh saja di mana-mana bahagian yang sempat tangan anda singgah, yang akan menyambut deria sentuhan tersebut adalah rasa premium balutan kulit yang ada.

Lihat saja papan pemuka yang sepenuhnya dibalut dengan kulit, begitu juga dengan panel pintu, stereng dan bahagian konsol tengah, semuanya sekata dalam keinginan Toyota membezakan Harrier ini daripada model lain. Terletak di dengan papan pemuka pula ialah skrin sentuh bersaiz lapan-inci dengan butang fizikal untuk sistem infotainmen. Di pasaran Jepun, saiznya lebih besar, iaitu 12.3-inci, tetapi untuk pasaran tempatan ia menerima unit OEM dari Toyota.

Unit ini datang dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, tetapi sedikit mengecewakan kerana anda masih perlu menggunakan kabel untuk sambungan itu. Ini sedikit merencatkan imej premium yang ingin dipotretkan oleh Harrier, sedangkan di poket bawah tombol larasan pendingin hawanya sudah memang tersedia pelantar pengecas tanpa wayar Qi untuk telefon pintar. Jika semuanya capaian tanpa wayar, pasti akan lebih kemas dan menarik — barulah betul-betul premium.

PANDU UJI: Toyota Harrier 2.0 Luxury 2022 — kuasa berkurang, tapi banyak kelebihan lain lebih penting

Satu lagi ciri yang mungkin sedikit merencatkan imej premium SUV ini adalah dash-cam yang disertakan. Kedudukan ia diletakkan satu hal, sebaliknya imej yang dipancarkan pada skrin juga tidak “tajam”, dan mungkin saja tampil lebih jelas pada model Vios yang turut menggunakan unit yang sama. Jika ini dapat diperkemaskan penawarannya selari dengan slogan premium yang ingin dilaung oleh SUV ini, makan ia akan jadi lebih menarik.

Paparan maklumat pemanduan pada kluster instrumen untuk pemandu pula melibatkan skrin tujuh-inci. Paparan maklumat yang diinginkan boleh dibuat melalui kendalian satu butang sahaja, dan mod pemanduan yang berlainan akan dibezakan dengan perubahan warna. Stereng pemandu pula merupakan unit larasan kuasa, menjadikan aspek ini sangat menyenangkan pemandu. Lagi hal berkaitan, kerusi balutan kulitnya juga datang dengan larasan elektrik serta tetapan dua memori untuk pemandu — memudahkan pengguna sekiranya SUV ini kerap dipandu oleh lebih daripada seorang pemandu sahaja.

Lagi ciri menarik untuk mengabsahkan yang SUV ini premium tentulah bumbung panoramik yang didatangkan bersamanya. Dengan melalui satu butang yang terletak di sekitar cermin pandang belakang, bumbung berkenaan boleh dicerahkan sekiranya anda memerlukan cahaya yang lebih banyak menembus ruang kabin. Dalam keadaan cuaca seperti di Malaysia, ini bagaimanapun hanya menjadi ciri yang sangat jarang kami gunakan, tetapi meletakkan satu lagi kelebihan ciri premium padanya.

Tidak lupa juga cermin pandang belakangnya yang turut hadir dengan mod paparan digital, dari kamera undur yang terletak di bahagian luar kereta ini. Perlu membiasakan diri dengan paparannya, melainkan ruang yang ada pada cermin pandang belakang adalah tirus dan lebar; mungkin bagi sesetengah orang, visual yang dipancarkan itu tidak akan “puas” ditengok dan menyukarkan anggaran jarak dan sebagainya. Kami, pada kebanyakan waktu, hanya memanfaatkan pantulan imej pada cermin biasa itu saja.

Sedikit tentang ruang barangan. Dengan semua kerusi dinaikkan, ruang yang tersedia adalah 396 liter. Ini angka yang boleh diterima walaupun bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan. Namun, dengan kerusi belakan direbah, ruang yang akan tersedia adalah 1,560 liter.

Beralih kepada aspek mekanikalnya pula. Harrier baru ini turut hadir dengan enjin yang berbeza berbanding sebelumnya; tiada lagi enjin 8AR-FTS 2.0 liter turbocas empat-silinder petrol, dan digantikan dengan unit 2.0 liter Dynamic Force. Unit M20A-FKS ini menghasilkan 173 PS pada 6,600 rpm dan 203 Nm tork dari 4,400 hinga 4,900 rpm.

Angka ini berkurangan daripada apa yang dijana oleh model sebelum ini dengan 231 PS dan 350 Nm tork, yang sampai dalam rpm lebih awal, masing-masing pada 5,200 dan 1,650 rpm. Pacuan tetap menggunakan roda depan, tetapi kini Direct Shift-CVT dari Toyota telah menggantikan transmisi automatik enam-kelajuan. Beza berbanding CVT biasa, transmisi Toyota ini menampilkan “launch gear” untuk meningkatkan kecekapan sistem berkenaan.

Manfaatnya adalah ketika ingin memulakan pergerakan dari kedudukan henti, ada gear awal yang menyediakan pacuan gear langsung untuk rasa yang lebih segera, yang biasanya tiada pada CVT. Dengan kelajuan yang bertambah, sistem akan beralih kepada pacuan tali sawat dan berfungsi sebagai CVT biasa dengan 10-kelajuan maya.

Jadi dengan semua perbezaan berbanding model lamanya, bagaimana rasa aspek pemanduan Harrier baru ini sebenarnya? Kami sempat menggunakan SUV ini untuk perjalanan jauh ke Kuala Terengganu ketika mengujinya. Dan ini juga memberikan kesempatan yang luas untuk cuba faham apa sebenarnya yang ingin ditawarkan oleh Harrier dalam penampilan terbarunya ini.

Katakanlah, anda ingin memanfaatkannya sebagai sebuah kereta keluarga yang memberikan perjalanan selesa, penjimatan dan perjalanan yang tidak mememenatkan untuk semua yang ada, maka itu memang berjaya disediakan oleh SUV ini. Tangki minyak yang boleh dikatakan agak kecil, dengan kapasiti 55 liter, memberi petunjuk bahawa SUV ini cekap menggunakan minyak, apatah lagi jika perjalanan yang dilakukan itu lebih banyak melibatkan lebuhraya dan jarak jauh. Sekadar pemerhatian ringkas melalui sistem komputernya, agak mudah untuk mendapat bacaan 14-15 km bagi setiap liter sepanjang perjalanan itu.

Tetapi, bagaimana dengan prestasi pemanduan dengan enjin 2.0 liter Dynamic Force baru ini? Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, janaan kuasa oleh Harrier baru ini agak rendah berbanding versi 2.0 liter turbocas pada model lama sebelum ini. Dan itu memang memberikan kelainan, terutama jika anda pernah merasakan sensasi pemanduan dengan model lama terbabit.

Mungkin gesaan dan lonjakan yang dijangkakan daripada enjin turbo tidak lagi dirasakan pada Harrier baru ini, tetapi itu bukanlah hal yang terlalu mengganggu, kerana jika difikirkan semula, ini sebuah SUV dan tidak dihasratkan untuk memberikan pemanduan yang lincah seperti kereta lumba.

PANDU UJI: Toyota Harrier 2.0 Luxury 2022 — kuasa berkurang, tapi banyak kelebihan lain lebih penting

Bergantung apa jangkaan anda tentang aspek kuasa SUV ini, ia sebenarnya memberikan pengalaman pemanduan yang kalau pun linear, bukanlah membosankan. Ini kerana dengan CVT Toyota seperti yang disebutkan awal tadi, ia tetap menyediakan rasa pemanduan yang bertenaga — terutama ketika ingin memulakan perjalanan dari kedudukan pegun. Selebihnya, sepanjang perjalanan dirasakan sangat mudah dan bersahaja, dan sangat selesa.

Perlu juga disebutkan perkara yang menjadikannya begitu. SUV ini menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) dari varian GA-K, yang turut digunakan oleh model lain seperti Camry, RAV4 dan Lexus ES. Dari sini sahaja sudah terserlah arah tuju pembangunan yang diberikan untuk SUV premium berkenaan. Ia masih menggunakan sistem suspensi MacPherson struts di depan dan double wishbones di belakang, yang memberikan ketegapan dan keselesaan untuk kabin sekaligus.

Juga tidak dilupa adalah kesenyapan kabinnya. Harrier memang sangat berhasil untuk membuatkan sesiapa saja duduk dengan selesa, menikmati perbualan atau muzik tanpa ada rasa rimas atau tekanan. Ya, sebaik itu. Tentang olengan badan dan kemampuannya di selekoh pula, tentulah ia akan dirasakan tidak setegap sedan atau kenderaan lain yang lebih rendah. Walaupun begitu, dengan talaan suspensi yang mengutamakan keselesaan itu, ia tetap memberikan prestasi kawalan yang boleh dihormati ketika di selekoh.

Bagi ciri keselamatan juga Harrier sangat cemerlang. Harrier ini datang dengan pakej lengkap Toyota Safety Sense. Termasuk di dalamnya ialah ciri AEB, kawalan melayar adaptif (ACC) dengan Stop/Go, bantuan ke tengah lorong, bantuan mengekalkan lorong, tinjauan titik buta dengan amaran lintasan trafik belakang dan lampu tinggi adaptif. Turut disertakan ialah tujuh beg udara, kawalan kestabilan dan cagak Isofix.

Jadi untuk siapa Harrier ini? Tentulah, yang menginginkan sebuah kenderaan dengan asprirasi pemanduan yang unggul mungkin akan berasa kecewa; kerana ini SUV dan ia tidak direka untuk itu. Begitu juga, jika anda membayangkan respon kuasanya sama seperi model sebelumnya, maka itu mungkin akan membuatkan anda sedikit kecewa.

Sebaliknya, jika faham apa yang cuba ditawarkan oleh SUV premium ini, iaitu keselesaan yang berada pada tahap yang lain dan tersendiri untuk dimanfaatkan, maka itu tentunya akan membuatkan anda sangat berpuas hati. Apatah lagi untuk membayar sekitar RM250k, tentulah kita menginginkan sebuah SUV yang di luar dan dalamnya menampilkan kesegaran dan kehalusan serta keselesaan optimum sebagai sebuah mod pengangkutan. Jika jangkaan anda terhadapnya berada dilingkungan kefahaman seperti ini, maka Harrier tidak akan mengecewakan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required