Toyota Harrier 2.0 Luxury 2021 di Malaysia — RM250k

Toyota Harrier 2.0 Luxury 2021 di Malaysia — RM250k

Selepas menyedari terdapat banyak permintaan ke atas Harrier dari generasi ketiganya — Toyota Harrier pertama kali yang dijual secara rasmi di Malaysia selain oleh model pengimport persendirian — UMW Toyota Motor (UWMT) meneruskan lagi legasi SUV berkenaan dengan pengenalan Harrier generasi keempat di sini April lalu, sebelum PKP dikenakan.

Jadi jangan gusar jika anda tidak tahu banyak tentang model yang mula dijual di Jepun pada Jun 2020 ini. Harrier XU80 terbaru ini menggunakan platform varian GA-K dari Toyota New Global Architecture (TNGA), yang turut digunakan oleh model seperti Camry XV70, Toyota RAV4 semasa dan Lexus ES. Ia sedikit lebih besar dan rendah berbanding sebelum ini, dengan profil yang lebih cenderung sebagai sebuah coupe menyuntik imejnya yang tersendiri.

Kini tiada lagi logo burung Harrier, dan digantikan dengan lencana standard Toyota, termasuklah di Jepun. Bahagian atas gril yang tertutup masih dikekalkan, diapit oleh lampu utama matrix LED yang lebih tirus. Ini digandingkan dengan bahagian bawah gril yang lebih luas membentuk wajah depannya yang unik. Lampu kabus LED ditempatkan di sudut bawah gril.

Toyota Harrier 2.0 Luxury 2021 di Malaysia — RM250k

Lampu belakang Harrier baru ini juga mengenakan lampu LED rekaan tirus. Dengan kelebaran penuh, yang melibatkan sedikit regangan untuk lencana Toyota. Jalur lampu brek ketiga di spoiler belakang juga agak panjang. Unit rasmi di Malaysia menggunakan rim 18-inci dua-tona aloi. Keseluruhannya, Harrier baru ini nampak sangat kemas dan tampil menarik, mendekati penampilan model mewah Lexus.

Model ini menggunakan enjin 2.0 liter Dynamic Force empat-silinder yang turut digunakan dalam RAV4 dan Lexus UX. Ia menjana 173 PS pada 6,600 rpm dan 203 Nm tork dari 4,400 hingga 4,900 rpm. Unit M20A-FKS ini NA — berbeza dengan Harrier generasi sebelum ini untuk pasaran Malaysia yang menggunakan enjin turbo 2.0 liter dengan janaan 231 PS/350 Nm. Di atas kertas, perbezaan yang terlibat agak besar, tetapi jika diandalkan dari pengalaman memandu UX, ia tidaklah terasa ketara.

Enjin NA berkenaan digandingkan dengan Direct Shift CVT yang menhantar kuasa ke roda depan. Model turbo sebelumnya menggunakan kotak gear automatik enam-kelajuan konvensional. Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 9.7 saat dan laju maksimum ialah 190 km/j. Kadar penggunaan minyak adalah 15.3 km/l, lebih baik berbanding yang lama dengan 13 km/l.

Toyota Harrier 2.0 Luxury 2021 di Malaysia — RM250k

Di dalam, rekaan papan pemuka didominasi oleh rekaan bentuk berlian pada bahagian konsol tengahnya. Kemasan kulit palsu dan jahitan juga kelihatan pada papan pemuka dan panel pintu. Ciri lain yang ada ialah bumbung kaca panoramik elektrochromik dan cermin pandang belakang digital.

Untuk pasaran Malaysia, Harrier dilengkapi dengan skrin 8.0-inci dengan Apple CarPlay, Android Auto dan banyak ciri lain lagi. Ia masih sistem infotainmen OEM Toyota dan bukannya sistem aftermarket. Turut tersedia ialah head-up display, pengecas tanpa wayar Qi, kamera undur dan enam pembesar suara.

Kelengkapan dalam Harrier juga menarik. Antara yang standard ialah sistem tanpa kunci dengan butang penghidup, kawalan pendingan hawa dua-zone dengan ioniser Nanoe X, kerus depan larasan kuasa (12-arah dengan memori untuk pemandu, empat-arah untuk penumpang) dengan liang pengudaraan/pemanas, stereng dengan pemanas dan larasan kuasa, kerusi belakang boleh rebah, balutan kulit dan pintu ruang belakang hands-free.

Aspek keselamatan juga cemerlang. Harrier ini datang dengan pakej lengkap Toyota Safety Sense. Termasuk di dalamnya ialah ciri AEB, kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go, bantuan ke tengah lorong, bantuan mengekalkan lorong, tinjauan titik buta dengan amaran lintasan trafik belakang dan lampu tinggi adaptif. Turut disertakan ialah tujuh beg udara, kawalan kestabilan dan cagak Isofix.

UMWT juga memasang sistem telematik kenderaan, filem penapis haba premium dan dashcam depan dan belakang. Pilihan warna terdiri daripada Slate Grey Metallic, Dark Blue Metallic dan Steel Blonde Metallic. Untuk Precious Black dan White Pearl Crystal Shine melibatkan tambahan RM800.

Harrier ini datang dalam satu varian sahaja, 2.0 Luxury yang dijual pada harga RM249,707 atas jalan tidak termasuk insurans, termasuk pengecualian cukai SST 50% untuk kereta CBU, hingga 31 Disember nanti. Beli dari pengedar sah Toyota bermaksud Harrier anda datang dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan.

Harrier bari ini juga RM10,000 lebih murah berbanding varian Luxury generasi sebelumnya, yang ada turbo dan lebih kuasa. Harrier ini merupakan SUV paling Premium yang Toyota ada.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required